Perginya sebutir permata besar dunia Islam

Pemergian Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas disifatkan sebagai kehilangan besar kepada umat Islam dan dunia intelektual, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, khabar duka itu diterima pada 18 Ramadan 1447H ketika umat Islam berada dalam bulan yang penuh keberkatan apabila tokoh ilmuwan berkenaan menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.47 petang.

Menurutnya, pemergian Naquib al-Attas bukan sekadar kehilangan seorang tokoh, tetapi turut menyaksikan hilangnya sebutir permata ilmu yang banyak menyumbang kepada pembangunan pemikiran Islam.

“Almarhum dikenali sebagai mujaddid, pemikir, ilmuwan yang menyalakan kembali obor ilmu dan adab dalam dunia Islam.

“Buah fikiran dan perjuangan beliau bukan sahaja menghidupkan wacana intelektual, bahkan turut menyumbang kepada lahirnya institusi penting seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) serta ISTAC,” katanya hari ini menerusi catatan di media sosial.

Beliau turut menyifatkan meskipun tokoh ilmuwan itu telah meninggal dunia, warisan ilmu dan pemikiran Allahyarham akan terus hidup serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

“Hari ini kita kehilangan seorang ulama pemikir, tetapi warisan ilmunya akan terus hidup, mendidik generasi demi generasi,” ujarnya.

Beramal soleh

Dalam masa sama, Dr Zulkifli turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni dosa Almarhum, merahmati beliau serta menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Ya Allah, ampunkanlah dosa Almarhum, rahmatilah beliau, terimalah segala amal kebajikannya dan tempatkanlah beliau di Syurga Firdaus bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin,” kata beliau lagi.

Untuk rekod, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.

Tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari itu dikurniakan Profesor Diraja pada Oktober 2024, atas sumbangannya terhadap negara terutama dalam bidang pendidikan Islam.

Pengurniaan itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan watikah pelantikan berkenaan.

Profesor Diraja gelaran tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.

Gelaran tertinggi tersebut dikurniakan kepada ahli akademik yang memberikan sumbangan bernilai kepada masyarakat serta kemajuan Malaysia.

Selain Allahyarham, gelaran Profesor Diraja juga dianugerahkan kepada Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978.

BACA JUGA Menjelang Aidilfitri: 5.2 juta rakyat terima STR mulai esok, FLYsiswa diperluas, harga barang dikawal