Ini sebabnya pemikiran Naquib al-Attas amat bernilai kepada dunia politik

AMANAH merakamkan ucapan takziah serta dukacita atas pemergian tokoh pemikir peradaban Islam tersohor, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia keilmuan Islam.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemergian tokoh ilmuwan itu semalam bersamaan 18 Ramadan 1447 Hijrah meninggalkan kesan mendalam berikutan sumbangan besar beliau dalam bidang falsafah, teologi dan tamadun Islam.

Menurutnya, Allahyarham turut dikenang sebagai pengasas serta pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), selain memainkan peranan penting dalam memperkenalkan konsep universiti Islam pada Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada tahun 1977.

“Pembentangan tersebut membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia,” kata Mohamad dalam satu kenyataan hari ini.

Rujukan utama

Beliau berkata, karya-karya penting Allahyarham seperti Islam and Secularism, The Concept of Education in Islam dan Prolegomena to the Metaphysics of Islam terus menjadi rujukan utama para ilmuwan di seluruh dunia sehingga hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu turut mengakui bahawa pemikiran Naquib al-Attas memberikan inspirasi besar kepada perjuangan beliau sendiri dalam politik Islam, khususnya ketika Allahyarham memperkenalkan proses Islamisasi dalam negara pada awal 1980-an.

“Jika dilihat kepada aspek politik, beliau ibarat guru kepada saya.

“Ketika beliau membawa proses Islamisasi di dalam negara pada awal 80-an, saya mengambil inspirasi dan pemikiran beliau untuk berjuang di dalam politik Islam melalui wadah politik.

“Oleh kerana itulah, idea dan pemikiran beliau amat bernilai bukan sahaja kepada dunia keilmuan tetapi juga dunia politik,” kata Mohamad lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata seluruh keluarga besar AMANAH sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham atas pemergian tokoh ilmuwan tersebut.

Tambah beliau lagi, jasa dan sumbangan Naquib al-Attas dalam bidang keilmuan Islam akan terus subur serta menjadi panduan kepada generasi masa kini dan akan datang.

BACA JUGA Menjelang Aidilfitri: 5.2 juta rakyat terima STR mulai esok, FLYsiswa diperluas, harga barang dikawal