PM ingatkan rakyat berhemah berbelanja susulan konflik Asia Barat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi nasihat supaya rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemah dalam perbelanjaan ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia yang dipengaruhi perang di Asia Barat ketika ini.
Beliau berkata, penutupan Selat Hormuz, yang menjadi laluan utama sebahagian besar perdagangan minyak dunia memberi kesan kepada sektor tenaga dan pengangkutan global, sekali gus berpotensi meningkatkan kos dalam pelbagai sektor termasuk logistik dan penerbangan.
Menurutnya, Qatar misalnya telah mengumumkan langkah menghentikan sebahagian pengeluaran gas, manakala beberapa negara lain turut mengambil tindakan yang boleh menjejaskan rantaian bekalan tenaga dunia.
“Apabila keadaan ini berlaku, kos pengangkutan akan meningkat dan memberi kesan kepada banyak perkara,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya, pagi tadi.
Kos meningkat
Beliau turut memberi contoh penerbangan dari Arab Saudi yang tidak lagi dapat melalui laluan biasa berikutan situasi keselamatan, sekali gus menyebabkan perjalanan menjadi lebih jauh dan kos meningkat.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya lebih berhati-hati dalam berbelanja serta mengamalkan budaya berjimat sebagai langkah persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 di dunia itu turut mengambil iktibar daripada kisah Nabi Yusuf yang menasihatkan agar masyarakat membuat persediaan pada waktu ekonomi makmur bagi menghadapi tempoh sukar pada masa hadapan.
“Kisah Nabi Yusuf mengingatkan kita bahawa ketika ekonomi mewah, kita sering lupa.
“Disebut tentang tujuh tahun ekonomi yang lumayan dan mewah, tetapi perlu bersedia menghadapi tujuh tahun ekonomi yang gersang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan rakyat untuk menyimpan dan mengurus kewangan dengan lebih berdisiplin, termasuk memanfaatkan instrumen simpanan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Anwar juga menyarankan agar masyarakat mengamalkan kesederhanaan dalam perbelanjaan harian, termasuk ketika menyediakan juadah berbuka puasa.
“Kalau selalu buat 10 kuih, mungkin boleh kurangkan kepada empat terutamanya ketika majlis berbuka puasa, kurangkan sedikit dan amalkan sikap sederhana,” kata Perdana Menteri lagi.
Semakin meruncing
Untuk rekod, ketegangan di seluruh Asia Barat pada masa ini semakin meruncing sejak Amerika Syarikat (AS)-Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Gelombang serangan balas peluru berpandu dan dron Iran kemudiannya menyasarkan kepentingan AS di beberapa negara Teluk.
Pertempuran di rantau itu juga mengakibatkan kematian orang awam di Iran terus meningkat serta menjejaskan operasi penerbangan dan tenaga serantau.
Bekalan tenaga dan bahan api serantau juga dilaporkan mula terjejas. AS-Israel telah menyerang depoh minyak di wilayah Tehran dan Alborz.
Sementara itu, Kuwait mengambil langkah berjaga-jaga berkait pengeluaran minyak mentah dan operasi penapisan susulan serangan berulang.
Pihak berkuasa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula memberi peringatan kepada penduduk mengenai potensi ancaman peluru berpandu dan menasihati mereka untuk mencari perlindungan di bangunan selamat, jauh dari tingkap dan kawasan terbuka.
Di Iran, hampir 10,000 unit awam, hartanah kediaman, bangunan komersial, pusat perubatan dan rawatan serta sekolah dan institusi pendidikan setakat ini telah rosak sejak perang memuncak.
Lebih 1,200 orang dilaporkan terbunuh termasuk Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa pegawai kanan tentera republik Islam itu.