Anwar sempat beri penghormatan terakhir, sertai solat jenazah Naquib al-Attas

Perdana Menteri hari ini berkesempatan menunaikan solat jenazah untuk tokoh ilmuwan dan pemikir agung peradaban Islam, Allahyarham Syed Muhammad Naquib al-Attas di Masjid Al-Taqwa TTDI.

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham, seorang Profesor Diraja dan sarjana yang amat dihormati, merupakan kehilangan besar buat dunia kerana telah menabur bakti besar dalam memartabatkan tradisi ilmu, adab dan tamadun Islam.

“Saya juga sempat menyampaikan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham serta menzahirkan penghargaan terhadap khazanah pemikiran yang amat bernilai yang ditinggalkan, khususnya dalam memperkasa kefahaman mengenai konsep ilmu, adab serta peranan Islam dalam membentuk peradaban yang luhur.

“Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi ilmuwan serta umat Islam dalam meneruskan tradisi keilmuan yang berteraskan hikmah dan nilai,” titipnya 

Beliau juga mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

BACA JUGA Ini sebabnya pemikiran Naquib al-Attas amat bernilai kepada dunia politik