Rakyat Malaysia terkandas diminta maklum tiket penerbangan pulang

Rakyat Malaysia yang terkandas di Asia Barat susulan ketegangan di rantau berkenaan, diminta memaklumkan kepada Wisma Putra sekiranya telah memperoleh tempat dalam penerbangan pulang ke tanah air.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan mengemas kini data rakyat Malaysia serta memudahkan urusan pemantauan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, terdapat kalangan mereka yang terbabit tidak menghubungi kementerian atau kedutaan selepas memperoleh tiket penerbangan pulang sehingga menyukarkan usaha pemantauan.

“Alhamdullilah keadaan keselamatan di sana nampaknya beransur pulih dan banyak ruang udara dibuka, secara berperingkat. 

“Syarikat penerbangan sudah boleh menyambung semula perkhidmatan ke Arab Saudi, Qatar dan Dubai, membolehkan rakyat Malaysia yang terkandas selamat sampai ke tanah air,” katanya memetik Bernama.

Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Arab Saudi yang memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang negara berkenaan.