Masjid jadi pusat pembangunan masyarakat melalui Program Ramadan MADANI

FOTO BEITA: Majlis Perasmian Iftar Ramadan MADANI Peringkat Wilayah Persekutuan oleh YB Dr. Zulkifli Hasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri di Dewan Terbuka Masjid Zaid Bin Thabit Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. 9hb Mac 2026 (Isnin)

Majlis Iftar Ramadan MADANI (IRAMA) Peringkat Wilayah Persekutuan Majlis anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu bertujuan memperkukuh hubungan antara kepimpinan negara, agensi kerajaan serta masyarakat akar umbi sempena bulan Ramadan.

Dalam ucapannya, Zulkifli menzahirkan rasa syukur kerana umat Islam masih diberi kesempatan menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Beliau mengingatkan bahawa Ramadan adalah bulan kegembiraan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada orang yang berpuasa.

Menurut beliau, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Allah SWT kelak.

“Ramadan adalah bulan kegembiraan, tetapi kegembiraan itu bukan untuk dinikmati seorang diri. Kita perlu berkongsi kegembiraan itu bersama masyarakat, bersama jemaah. Sebab itu kita adakan majlis iftar seperti ini supaya kita dapat berbuka puasa dan bersyukur bersama-sama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa program IRAMA dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 14 negeri bagi mengimarahkan masjid dan merapatkan hubungan antara pemimpin serta rakyat.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata pelbagai program turut dilaksanakan sepanjang Ramadan termasuk inisiatif yang dilancarkan oleh Anwar Ibrahim pada 22 Februari lalu iaitu program Rakan Masjid dan Rakan Muda Ramadan bagi menggalakkan penglibatan golongan belia dalam aktiviti masjid di seluruh negara.

Menurutnya, penglibatan anak muda amat penting dalam menghidupkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat, sekali gus memastikan generasi baharu terus mendekati nilai agama dan semangat kebersamaan.

“Apabila anak muda menjadi penggerak masjid, kita bukan sahaja mengimarahkan rumah Allah, tetapi kita juga membina generasi yang mempunyai jiwa kepimpinan dan tanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan pengagihan ratusan bakul makanan kepada golongan asnaf sekitar Wilayah Persekutuan serta pelbagai aktiviti keagamaan termasuk program tadarus Al-Quran bagi menyemarakkan lagi suasana Ramadan.

Sementara itu dalam ucapannya, Wan Azizah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut, sambil menegaskan bahawa penganjuran IRAMA merupakan satu usaha penting dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan negara, agensi kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, program tersebut mencerminkan nilai ihsan yang menjadi teras kepada gagasan Malaysia MADANI, di mana para pemimpin dan wakil agensi agama turun padang untuk bersama masyarakat, berkongsi rezeki serta menyelami realiti kehidupan rakyat.

“Ramadan merupakan bulan yang mendidik umat Islam tentang keprihatinan dan semangat kebersamaan. Program seperti ini membuka ruang untuk kita duduk sebumbung, merapatkan hubungan serta memastikan tiada golongan yang terpinggir,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kebajikan masyarakat, majlis tersebut turut menyaksikan pengagihan 700 bakul makanan kepada keluarga asnaf sekitar Wilayah Persekutuan hasil kerjasama MAIWP, JAKIM dan JAWI.

Dalam masa sama, Kedutaan Emiriah Arab Bersatu turut menyumbang sebanyak 500 bungkus nasi Arab, 50 kotak sumbangan makanan serta baucar bernilai RM200 kepada 100 kanak-kanak sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan.

Majlis itu juga menyaksikan peluncuran Sukarelawan Anak Muda Masjid Wilayah Persekutuan yang bertujuan memperkasakan peranan golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan melalui institusi masjid, sekali gus menghidupkan kembali fungsi masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat seperti pada zaman Rasulullah SAW.

Selain itu, penyampaian sijil penghargaan kepada peserta Program Tadarus Al-Quran turut diadakan sebagai galakan kepada masyarakat untuk terus menghayati Al-Quran dalam membina integriti, disiplin dan kepimpinan diri.

Penganjuran Majlis Iftar Ramadan MADANI ini mencerminkan komitmen berterusan JAWI bersama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta rakan strategik dalam memperkukuh perpaduan masyarakat, menyantuni golongan memerlukan dan memperkasa peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah yang inklusif serta sejahtera.
