Media luar lapor Anwar dijangka tidak sambung kontrak Azam Baki
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris dari Singapura, The Straits Times, mendakwa kontrak perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka tidak akan disambung lagi selepas 12 Mei.
Laporan itu yang memetik sumber peringkat tinggi mendakwa, keputusan itu dibuat susulan pelbagai dakwaan salah guna kuasa terhadap agensi antirasuah berkenaan dan ketuanya Azam Baki.
Kontroversi terhadap Azam Baki semakin meningkat sejak Februari lalu, malah sejak beliau pertama kali dilantik pengerusi SPRM pada 2020 – dua tahun sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Menurut sumber kerajaan dan perundangan yang mengetahui keadaan itu, Azam Baki tidak akan menerima kontrak lanjutan daripada kerajaan yang sedang berdepan tekanan untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadapnya.
“PM telah berulang kali menegaskan kepada Kabinet dalam beberapa minggu kebelakangan ini bahawa Azam tidak akan disambung,” kata seorang sumber rasmi kepada The Straits Times yang tidak mahu dinamakan kerana perbincangan itu bersifat sulit.
Pada Februari lalu, agensi berita Bloomberg mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Keadaan itu memaksa kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas yang terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk menyiasat dakwaan tersebut.
BACA JUGA Kecewa konflik berterusan dalam Bersatu, 15 pemimpin Armada Sabah keluar parti