Apabila Selat Hormuz ditutup apa kesannya?
Oleh NIK HASYUDEEN YUSOF
Apabila Iran menutup Selat Hormuz, dunia jadi kelam kabut kerana dalam 20 juta tong minyak dan bahan api melalui selat berkenaan. Sehari dua ini harga minyak sudah melepasi $100 setong.
Apa yang Donald Trump buat? Di samping merapu sepertu biasa termasuk menggesa kapal-kapal minyak supaya memberanikan diri mencuba melalui selat berkenaan, Trump juga buat kenyataan berkenaan pelepasa kira-kira 400 juta tong rizab strategik minyak yang disimpan oleh negara-negara G7, Amerika dan kuncu-kuncunya.
Apabila berita ini tersiar, harga minyak turun ke bawah $100 setong. Mungkin Trump ingat dia hanya perlu gunakan gigitan bunyi 🤗 (sound bite) untuk mengawal ekonomi dunia sama seperti dia menipu pengundi-pengundi MAGA yang merupakan penyokong tegar Trump.
Pagi ni saya ada baca laporan bahawa G7 masih belum membuat apa-apa keputusan kerana ada negara-negara seperti Peranchis yang tidak bersetuju. Sebenarnya, walaupun dikatakan G7 ada lebih 1 bilion tong minyak sebagai rizab strategik, Amerika dan Jepun merupakan pemilik-pemilik dengan jumlah rizab yang besar.
Harga minyak Brent yang menjadi rujukan saya bertahan di atas $90 setong, jauh lebih rendah dari semalam. Namun, ianya masih dikira tinggi dan sudah mula memberi kesan ke atas orang-orang Amerika yang akan mengundi lagi pada bulan November tahun ini. Itu yang Trump takut. Parti Republikan boleh kalah di kedua-dua dewan di sana.
Walaupun pakar komunikasi strategik sering menggunakan “sound bite” untuk menghantar mesej-mesej bagi membentuk pemikiran sasaran mereka, kaedah ini ada hadnya. Kita pun dah tengok sendiri bagaimana orang yang nampak popular kerana kerja-kerja komunikasi strategik akhirnya tergolek apabila masuk gelangang.
Apa lagi jika pakar komunikasi strategik yang terbukti gagal dikitar semula. Sudah tentu dia akan menggunakan formula lama dan hasilnya mungkin boleh juga dijangka. “Sound bite” ada hadnya.
Di sebelah Iran pula, mereka mengulang-ulang angka $200 setong dengan tujuan menakut-nakutkan pasaran dan juga pengundi-pengundi di Amerika. Iran tahu suasana politik di Amerika akan mempengaruhi orang-orang seperti Trump yang menilai kejayaan melalui populariti di media.
Semalam Iran mengumumkan bahawa selepas ini misil-misilnya akan seberat 1,000 kilogram ke atas. Ini juga mesej kepada Israel dan kuncu-kuncu Amerika di sekitar Iran bahawa kesan misil Iran selepas ini lebih power. Iran sudah yakin daya pertahanan udara musuh sudah berjaya di atasi.
Apa yang usahawan boleh pelajari?
Komunikasi strategik ada peranan di dalam perniagaan. Ianya boleh membantu membina jenama dan juga daya saing perniagaan.
Namun, bersandarkan kepada “sound bite” sahaja tidak cukup, lama-lama pelanggan dan lain-lain pihak berkepentingan boleh nampak siapa kita sebenarnya sekiranya pencapaian di dalam pasaran tidak seperti yang kita war-warkan. Orang tak bodoh, tau!
Sekiranya penutupan Selat Hormuz berterusan, harga bahan api akan meningkat. Ini akan memberi kesan ke atas kesemua ekonomi dunia. Bersedialah dengan pelan tindakan yang bersesuaian.
BACA JUGA Warga sekolah cuti raya 9 hari tahun ini