Peniaga terkejut menteri turun padang, hulur cek RM30,000

Suasana di Uptown Bandar Perda pada malam itu seperti biasa meriah dengan deretan khemah jualan dan lampu-lampu yang menerangi kawasan perniagaan.

Namun, bagi seorang peniaga lama di situ, Rahim Ibrahim, malam tersebut menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.

Rahim, yang telah berniaga seluar di kawasan itu selama lebih 16 tahun, mengakui dia benar-benar terkejut apabila Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, tiba-tiba hadir ke khemahnya.

Kehadiran itu bukan sekadar lawatan biasa, tetapi satu kejutan yang menyentuh hati seorang peniaga kecil yang sudah lama bergelumang dengan dunia perniagaan tanpa banyak sokongan.

“Terkejut juga bila YB datang dekat khemah saya. Terharulah.

“Saya dah berniaga lebih kurang 16 tahun, tapi tak pernah lagi kami dapat pinjaman TEKUN yang diluluskan secepat ini,” katanya dengan nada penuh syukur.

Cabaran utama

Kisah Rahim sebenarnya menggambarkan realiti yang dialami ramai peniaga kecil di negara ini.

Mereka berniaga siang malam, tetapi akses kepada modal sering menjadi cabaran utama untuk berkembang.

Justeru, apabila permohonan pembiayaan diluluskan dengan pantas, ia bukan sekadar bantuan kewangan tetapi juga suntikan semangat kepada golongan yang selama ini bekerja keras di belakang tabir ekonomi rakyat.

Melalui Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM2.5 juta kepada usahawan mikro di Pulau Pinang setakat ini.

Sebanyak 357 permohonan telah diterima, menunjukkan sambutan yang memberangsangkan daripada peniaga kecil yang ingin memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Dalam lawatan tersebut, Steven Sim turut menyerahkan cek pembiayaan sebanyak RM30,000 kepada tiga peniaga sebagai simbolik penyaluran skim tersebut.

Dana itu bertujuan membantu peniaga menambah stok dan memperkukuh perniagaan ketika musim perayaan yang lazimnya menjadi waktu paling sibuk bagi peniaga kecil.

Skim BARAKAT menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan hanya tiga peratus setahun serta tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan.

Menariknya, pemohon tidak perlu membuat simpanan, sekali gus mengurangkan beban awal kepada peniaga kecil.

Lebih penting, skim ini turut memberi jaminan bahawa proses birokrasi akan diminimumkan agar permohonan dapat diproses dengan cepat.

Bagi ramai peniaga seperti Rahim, bantuan sebegini membawa makna yang jauh lebih besar daripada angka semata-mata.

Ia adalah tanda bahawa suara dan perjuangan usahawan kecil akhirnya didengar, terutama ketika mereka sedang berusaha mencari rezeki untuk keluarga menjelang Ramadan dan Syawal.

BACA JUGA Seorang lagi dipercayai bunuh diri di Kelantan