Kes bankrap NFCorp: Apa tindakan Rafizi, Mohamad Salleh?
Tindakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, untuk memulakan prosiding kebankrapan terhadap Pengarah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, akhirnya diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.
Penyelesaian tersebut turut melibatkan isu pembubaran syarikat berkenaan, menurut peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili bekas pemimpin PKR itu.
Lapor Bernama, kes terbabit dijadualkan untuk didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Gan Techiong, hari ini tetapi sesi pendengaran dibatalkan selepas Notis Penamatan difailkan pada 3 Mac lalu.
Mahkamah kemudian menggugurkan kes tersebut tanpa perintah mengenai kos.
Rafizi memfailkan tuntutan itu bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding kebankrapan dan pembubaran syarikat terbabit berikutan dakwaan gagal menyelesaikan baki kos yang diperintahkan mahkamah.
Perintah mahkamah berhubung tuntutan fitnah yang difailkan terhadap Ahli Parlimen Pandan itu mewajibkan beliau membayar ganti rugi dan kos tanpa faedah.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Rafizi mengakui defendan iaitu Mohamad Salleh dan NFCorp membayar sejumlah RM300,000 melalui peguam mereka pada Disember 2022.
Namun, defendan meminta supaya faedah diketepikan atas alasan “tanggungjawab kewangan yang besar” mereka.
Walaupun permohonan tersebut ditolak peguam Rafizi, defendan tidak membuat sebarang pembayaran seterusnya.
BACA JUGA Peniaga terkejut menteri turun padang, hulur cek RM30,000