Felo Perdana 2026 tampil penambahbaikan, fokus lahirkan pemimpin belia masa depan

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran dan Sidang Media sempena Program Felo Perdana 2026 oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan di Lobi Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. 10hb Mac 2026 (Selasa)

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari hari ini melancarkan Program Felo Perdana 2026 dalam satu sidang media yang berlangsung di Lobi Menara Kementerian Belia dan Sukan.

Sidang media tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Rahimi Ismail serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin.

Menurut Dr. Mohammed Taufiq, Program Felo Perdana 2026 diperkenalkan dengan beberapa penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaannya lebih mantap serta mampu memberi impak lebih besar dalam memperkasa pembangunan belia negara.

Program tersebut mensasarkan penyertaan seramai 63 orang belia yang akan mengikuti pendekatan mentor–mentee dengan ditempatkan di 31 kementerian serta Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) selama tempoh empat bulan. Pendekatan ini dirangka bagi memastikan proses bimbingan dan pementoran dilaksanakan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan pelapis kepimpinan masa hadapan dalam kalangan belia.

Pemilihan peserta akan dilakukan melalui Sesi Penilaian Berpusat (Centralized Assessment Centre) yang berfungsi sebagai mekanisme saringan komprehensif bagi menilai kompetensi, potensi kepimpinan, keupayaan pemikiran strategik serta kesesuaian personaliti calon secara objektif dan telus.

Selain itu, syarat kelayakan akademik turut diperkemas dengan menetapkan bahawa pemohon mestilah telah menamatkan pengajian sekurang-kurangnya di peringkat Ijazah Sarjana Muda daripada institusi pengajian tinggi yang diiktiraf, sama ada awam atau swasta di dalam atau luar negara.

Program Felo Perdana memberi fokus kepada lima objektif utama iaitu membangunkan potensi kepimpinan belia, meningkatkan pemahaman mengenai tadbir urus kerajaan, memberi pendedahan kepada polisi dan dasar pentadbiran negara, menyediakan platform kepada belia dalam perancangan dan penggubalan dasar kerajaan serta membina rangkaian pemimpin belia masa hadapan.

Permohonan bagi Program Felo Perdana 2026 dibuka secara rasmi kepada belia berumur antara 18 hingga bawah 30 tahun bermula 10 Mac hingga 24 April 2026 melalui portal rasmi KBS di myfelo.kbs.gov.my.

Majlis Penyerahan dan Penempatan Felo Perdana pula dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 24 Jun 2026.

Pelaksanaan program ini melibatkan semua kementerian dengan sokongan rakan strategik daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Institut Tadbiran Awam Negara, Akademi Kenegaraan Malaysia serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Pelaksanaan program ini melibatkan semua kementerian dengan sokongan rakan strategik daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Institut Tadbiran Awam Negara, Akademi Kenegaraan Malaysia serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Sepanjang tempoh penempatan, peserta akan menerima elaun bulanan setara kadar Pegawai MySTEP Gred 9 yang ditanggung sepenuhnya oleh kementerian tempat penempatan masing-masing.

Selain itu, peserta turut diberi tugasan khas termasuk penglibatan secara langsung dalam sesi mentor–mentee bersama Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, selain menyertai sesi townhall bersama Menteri Belia dan Sukan bagi memberi pendedahan kepada proses pembuatan dasar serta pengurusan pentadbiran kerajaan di peringkat tertinggi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat KBS di talian 03-8871 3744 / 3429 atau melalui e-mel jbsn@kbs.gov.my dan myfelo@kbs.gov.my.