Terbongkar! 28 transaksi mencurigakan cecah RM19.3 juta masuk akaun Bersatu
Kes salah guna kedudukan serta pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan ratusan juta ringgit yang dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin, terus membongkar perkembangan baharu pada hari kedua perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Pengurus Kewangan CIMB Bank Cawangan Menara CIMB KL Sentral memberitahu mahkamah bahawa Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) telah dihantar kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kemasukan RM19.3 juta ke dalam akaun Bersatu enam tahun lalu.
Lee Hui Nee, 58, berkata, bank cawangan tersebut mendapati terdapat 28 transaksi wang secara berperingkat mencecah RM19.3 juta, dimasukkan ke akaun semasa CIMB Islamic Bank parti, bermula 24 Ogos 2021 hingga 11 November 2022.
Saksi pendakwaan kedua berkenaan juga berkata, nilai tertinggi diterima akaun parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu adalah sebanyak RM2 juta sementara terendah, RM200,000.
Jelasnya, daripada jumlah itu, empat transaksi mencecah RM4 juta didepositkan menerusi cek atas seorang individu dikenali Datuk Azman Yusoff sementara satu transaksi sebanyak RM1 juta daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd.
Hui Nee menerusi pernyataan saksi berkata, akaun semasa atas nama Bersatu didaftarkan sebagai ‘pelabur’ dan jenis perniagaan disenaraikan sebagai ‘parti politik’.
Menurutnya, pemohon bagi pembukaan akaun tersebut ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Mahiaddin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Kamarulzaman Habibur Rahman, Anina Saadudin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pada 1 Disember 2020, nama pemegang akaun telah ditukar kepada Mahiaddin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri.
BACA JUGA Sheikh Omar mohon maaf kepada penganut Hindu, kecam tindakan pijak ‘soolam’