Lindung Kasih: PM galak korporat, syarikat swasta, NGO taja caruman perkasa peranan wanita

Perdana Menteri menggalakkan badan korporat, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi serta individu mengambil peluang menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih) bagi menyahut seruan memperkasa peranan wanita.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Skim Lindung Kasih yang diperkenal sejak 2022 di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), memberi perlindungan sosial dan menjamin satu peraturan kaedah ekosistem pekerjaan lebih responsif dan terangkum kepada golongan berkenaan.

“Oleh sebab Dasar Wanita Negara 2025-2030, tumpuannya ialah pemerkasaan wanita, maknanya memberikan ruang, peluang, pendedahan kegiatan ekonomi dan perlindungan sosial,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, menerusi tajaan caruman tersebut, secara langsung akan memperkukuh penyertaan wanita dalam tenaga buruh, pelbagai langkah sudah digerakkan termasuk insentif cukai.

Jelasnya, pihak yang menyalurkan tajaan caruman Skim Lindung Kasih melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN), layak menikmati pengecualian cukai selaras dengan peruntukan Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Insentif cukai ini termasuk dalam bidang penjagaan anak-anak, pengaturan kerja fleksibel, program sokongan kerjaya, latihan kemahiran dan dasar mesra keluarga,” kata Perdana Menteri lagi.

Beliau menambah, dengan caruman RM120 setahun, skim Lindung Kasih ini memberi pelbagai manfaat serta faedah perubatan bagi yang hilang upaya selain memudahkan bagi menjalani proses pemulihan.

BACA JUGA Terbongkar! 28 transaksi mencurigakan cecah RM19.3 juta masuk akaun Bersatu