KKM perkasa garis panduan tangani salah laku di tempat kerja susulan kematian doktor pelatih

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkasakan pelaksanaan pekeliling perkhidmatan sedia ada bagi menangani isu salah laku dan persekitaran kerja dalam kalangan petugas kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya memandang serius isu persekitaran kerja dan kebajikan seluruh petugas kesihatan bagi memastikan setiap warga KKM dapat bertugas dalam suasana profesional, beretika dan berteraskan nilai MADANI.

Menurutnya, bagi mengelakkan kekaburan dalam menangani kes salah laku, KKM akan memperkukuh pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai panduan mandatori dalam tindakan tatatertib di semua fasiliti kesihatan.

Pekeliling itu secara jelas melarang penggunaan bahasa kasar, maki hamun, penghinaan secara terbuka (public shaming) serta sebarang bentuk gangguan emosi yang melampaui batas profesionalisme.

Beliau berkata, dokumen berkenaan akan menjadi rujukan mandatori dalam tindakan tatatertib bagi memastikan setiap aduan diproses secara adil dan telus di semua peringkat fasiliti.

“Pengurusan tertinggi di setiap fasiliti kesihatan perlu mengambil tanggungjawab mewujudkan budaya kerja harmoni dan penyayang serta wajib menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang aduan tanpa kompromi atau melindungi mana-mana individu.

“Saya ingin menegaskan bahawa kegagalan pemimpin untuk bertindak balas terhadap aduan adalah satu kegagalan tadbir urus yang serius, berdasarkan prinsip Failure to take action is a failure itself,” katanya.

Pada 6 Mac lalu, seorang doktor pelatih Wanita berusia berusia 29 tahun ditemui mati di bilik asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, Kelantan jam 9.55 pagi.

Susulan itu, Jabatan Kesihatan Kelantan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat dan meneliti secara holistik kes menggemparkan itu.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Azman Yacob, dilaporkan berkata, jawatankuasa berkenaan akan cuba mengenal pasti punca kejadian termasuk dari aspek tekanan tempat kerja dan faktor penyumbang lain.

Sementara itu, polis telah merekod keterangan lebih 10 individu setakat semalam membabitkan rakan mangsa, pensyarah dan keluarga.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dilaporkan berkata, hasil keterangan yang diperoleh termasuk kejadian berlaku akibat tekanan.

Namun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan siasatan diambil oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Difahamkan, mangsa masih belajar dan menjalani latihan praktikal di hospital berkenaan.

BACA JUGA Terbongkar! 28 transaksi mencurigakan cecah RM19.3 juta masuk akaun Bersatu