Polis buka dua kertas siasatan kes rumah ahli Pas diserang
Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan susulan kejadian khianat serta ugutan jenayah di rumah aktivis, Cikgu Chandra di Taman Kinrara, dekat Puchong, semalam dan awal pagi hari ini.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, pihaknya menerima dua laporan berasingan berkaitan kejadian tersebut.
“Bagi insiden pertama, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Bagi insiden kedua pula, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berkaitan kejadian khianat dengan api yang membabitkan kenderaan di lokasi sama,” menurut kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti motif serta pelaku kejadian.
Sehubungan itu, tegasnya, orang ramai diminta memberi ruang sepenuhnya kepada polis bagi melengkapkan proses siasatan.
“Masyarakat juga diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta ketenteraman awam,” kata beliau.
Shazeli menambah, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
Sebelum ini, Cikgu Chandra, 47, mendakwa rumahnya diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang kira kira jam 3.30 petang semalam ketika dia berada di rumah bersama dua anaknya.
Pemilik kepada nama S Chandrasegaran itu dilapor berkata, dua lelaki membuka pagar rumahnya sebelum memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.
Semakan rakaman kamera litar tertutup dilapor mendapati kira-kira enam individu menaiki dua kenderaan dipercayai berada di luar rumah ahli Pas berkenaan ketika kejadian.
Sekumpulan individu kemudiannya dipercayai datang semula ke rumahnya kira kira jam 3.20 pagi tadi.
Mereka mencampakkan objek dipercayai bom petrol ke kawasan rumah mengakibatkan tiga kenderaan milik penyokong pembangkang itu musnah terbakar.
BACA JUGA 100 nelayan Sepang terima sumbangan Rahmah Ramadan, LKIM galak berani berniaga