Cukup ke bekalan petrol Malaysia ketika negara lain mula panik? Ini respon Menteri Ekonomi

Susulan kekecohan di beberapa negara jiran mengenai kecukupan bekalan petrol mereka ketika peperangan di Asia Barat masih berterusan, timbul persoalan mengenai kedudukan bekalan bahan api di Malaysia.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasir dalam satu penjelasan di Facebook berkata, bekalan minyak dan tenaga domestik negara ketika ini berada pada tahap mencukupi walaupun terdapat kebimbangan mengenai gangguan bekalan di beberapa negara lain.

Jelas beliau, buat masa ini, tiada petunjuk mengenai sebarang gangguan terhadap bekalan tenaga domestik negara yang bermaksud bekalan minyak negara adalah mencukupi.

“Ada negara lain yang mula kecoh tentang bekalan petrol mereka. Bagaimana dengan Malaysia ?

“Saya telah panggil PETRONAS, Bank Negara, DOSM dan wakil Wisma Putra, MITI serta Kementerian Kewangan. Yang paling ramai nak tahu, cukup atau tidak bekalan minyak untuk negara kita ?

“Buat masa ini, tiada petunjuk mengenai sebarang gangguan terhadap bekalan tenaga domestik negara. Maknanya, bekalan minyak untuk kegunaan semua peringkat – industri mahupun untuk kenderaan adalah cukup,” ujarnya dalam satu video penerangan.

Menurut beliau, keadaan itu disokong oleh kedudukan ekonomi Malaysia yang mempunyai “cushion” atau penampan secara semula jadi.

Katanya, Malaysia merupakan pengeksport bersih tenaga, sekali gus meletakkan negara dalam kedudukan yang lebih baik berbanding banyak negara lain untuk menyerap sebarang impak sekiranya berlaku gangguan bekalan atau kenaikan harga minyak dunia.

Walau bagaimanapun, kerajaan akan terus berwaspada dan memantau perkembangan semasa dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, keadaan itu bergantung kepada tempoh pergolakan yang berlaku serta pergerakan harga minyak dunia yang dipantau setiap jam.

“Keutamaan segera kita sekarang adalah untuk mengekalkan kestabilan ekonomi, mengekalkan keyakinan pelabur dan melindungi kesejahteraan rakyat serta perniagaan kecil,” katanya.

BACA JUGA Harga petrol melambung lepas Selat Hormuz ditutup, rakyat AS tanggung beban