Syahredzan tempelak fitnah konon beliau tidak bersuara ketika al-Quran dihina

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menempelak tuduhan kononnya beliau tidak melakukan apa-apa ketika isu penghinaan terhadap al-Quran tercetus bulan lalu.

Beliau memuat naik semula laporan berita pada Februari lalu di mana beliau mengecam tindakan seorang pelajar universiti yang didakwa memijak al-Quran.

Jelasnya, tuduhan dilemparkan terhadapnya adalah fitnah sedangkan beliau antara yang terawal mengeluarkan kenyataan untuk mengutuk tindakan biadab tersebut.

“Masa al-Quran dipijak, Ahli Parlimen Bangi senyap sahaja”, ujar komentar dalam media sosial. Saya sudah agak tuduhan ini akan dilemparkan bila saya keluar kenyataan semalam. 

“Memang sejak insiden penghinaan terhadap al-Quran bulan lepas, ramai yang tuduh saya membisu sampai saya kena siar semula kenyataan saya.

“Nah, sekarang jadi lagi. Walhal, saya antara yang awal juga mengeluarkan kenyataan untuk mengutuk tindakan menghina al-Quran, dan dilaporkan meluas dalam media,” katanya dalam satu penjelasan di Facebook pagi ini.

Syahredzan berkata, beliau terbuka terhadap kritikan dan kecaman, namun beliau meminta orang ramai untuk sekurang-kurangnya bersikap tabayyun dengan membuat semakan semula sebelum membuat sebarang tuduhan.

“Saya okay sahaja terima kritikan atau kecaman. Tetapi berlaku adil pada saya lah. Tabayyun sebelum tibai. Google dan ChatGPT pun ada zaman ini. Atau scroll page saya.

“Sudah-sudahlah memfitnah, banyakkan amal ibadah dalam 10 malam terakhir Ramadan ini. Peringatan buat diri saya sendiri juga,” katanya 

BACA JUGA Cukup ke bekalan petrol Malaysia ketika negara lain mula panik? Ini respon Menteri Ekonomi