Ahli politik Terengganu didakwa seleweng dana Projek Sejati MADANI masuk akaun sendiri
AMANAH mendakwa menerima beberapa aduan berhubung penyelewengan dana di Terengganu membabitkan Projek Sejati MADANI yang sepatutnya bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti dan kampung-kampung.
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mendakwa, penyelewengan itu berkait dengan individu yang mempunyai pengaruh politik di Terengganu.
Menurut beliau, projek yang sepatutnya membantu golongan bawahan, telah diambil kesempatan oleh sebuah parti yang menggunakan kedudukan dan pengaruh politik untuk menyalurkan wang kepada firma sendiri sehingga projek-projek tersebut gagal.
Beliau mendakwa aduan telah dibuat kepada pihak atasan namun tiada pembelaan sewajarnya kepada mangsa.
“Saya telah menerima beberapa aduan kes melibatkan projek Sejati Madani yang dananya telah diseleweng melalui perbuatan pecah amanah pihak yang berkedudukan dalam politik di negeri Terengganu.
“Aduan kepada pihak atasan tidak berhasil sehingga mangsa-mangsa terpaksa membuat aduan kepada SPRM dan juga aduan polis.
“Kerana tiada tindakan pihak berkuasa, pihak pihak yang menjadi mangsa sedang menimbang untuk membawa kes ini ke mahkamah bagi menuntut keadilan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily sebentar tadi
Menurut Raja Kamarul, mereka yang terpalit dalam penyelewengan ini adalah ahli parti politik yang kononnya membantu mengurus kejayaan projek tetapi wang peruntukan sebanyak 97% telah disalurkan ke akaun bank individu persendirian dalam satu malam.
Beliau mendakwa wang dipindahkan melalui 3 keping cek dan ada juga kes dalam tempoh 3 hari melalui 3 cek kepada syarikat individu yang sama.
“Modus operandi licik dan firma yang sama digunakan oleh individu-individu sama.
“Salinan cek serta nombor dan jumlah bayaran cek bersama dengan nama akaun milik individu dan carian pemilik firma telah dikemukakan kepada SPRM dan pihak polis,” tambahnya.
Beliau menggesa agar SPRM mengambil tindakan tegas dalam kes penyalahgunaan dana projek Sejati Madani ini bagi memulihkan kembali keyakinan rakyat kepada agensi anti rasuah itu.
“Tidak patut kes penganiayaan peserta-peserta projek Sejati Madani ini diselewengkan oleh mereka yang sepatutnya membela nasib penduduk yang kurang bernasib baik dan susah,” ujarnya lagi.