Noh Omar hilang kelayakan untuk sertai Umno kembali, kata Lokman Adam
Umno menyifatkan, Tan Sri Noh Omar sudah hilang kelayakan untuk menyertai semula Umno selepas memberikan syarat untuk berbuat demikian.
Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, sebelum ini, Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan menerima semula bekas ahli yang dipecat atau digantung tanpa sebarang syarat.
“Namun tindakan Noh Omar yang meletakkan syarat jelas bercanggah dengan pendirian tersebut,” kata beliau.
Lokman bertanya, “Apa yang sebenarnya Noh Omar terlalu takutkan dengan DAP? Pernahkah Umno menentang DAP dalam pilihan raya?
“Adakah kerjasama Umno dan DAP merugikan orang Melayu, atau kerajaan PN di bawah Muhyiddin dahulu yang lebih memudaratkan?” soal beliau.
Katanya, sejarah membuktikan “Langkah Sheraton” yang membentuk kerajaan Bumiputera dengan hanya 114 kerusi menyebabkan ketidakstabilan politik dan kesusahan rakyat.
“Berbeza dengan kerajaan Madani hari ini, walaupun melibatkan 17 parti termasuk DAP, agenda Islam dan Bumiputera masih dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Lokman membariskan peruntukan bagi pemerkasaan Islam dan Bumiputera kini meningkat dengan ketara.
Antaranya kewujudan Pra-Tahfiz Tabika KEMAS, Smart Classroom@KEMAS, PeliTa@KEMAS, dana RM2.6 bilion kepada JAKIM, sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050, peningkatan peruntukan MARA kepada RM6 bilion serta tajaan ribuan pelajar Bumiputera ke luar negara.
“Ini membuktikan kerjasama dengan DAP tidak menghalang agenda Islam dan Melayu seperti yang sering didakwa.
“Sebaliknya ketika PN memerintah, ketidakstabilan politik menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan, pelaburan menurun, ekonomi merosot, pengangguran meningkat dan rakyat terpaksa mengeluarkan simpanan KWSP sendiri untuk meneruskan hidup,” kata beliau.
Bagi Lokman, eruan penyatuan Melayu yang dibawa Bersatu dan PAS juga tidak realistik selagi mereka tidak mengiktiraf Melayu daripada PKR, Umno, Amanah dan DAP sebagai sebahagian daripada masyarakat Melayu.
“Hakikatnya, kehadiran Umno dalam kerajaan Madani memastikan kepentingan Islam dan Melayu terus terpelihara.
“Tiada sebab untuk Umno memutuskan kerjasama semata-mata kerana desakan individu yang tidak memberi nilai tambah kepada parti.
“Sebaliknya, kerjasama Umno dan Pakatan Harapan memberi peluang lebih besar untuk BN bertanding dan memenangi lebih banyak kerusi dalam PRU16 dengan sokongan pelbagai kaum. Inilah yang sebenarnya dibimbangi oleh Noh Omar kerana ia akan menutup peluang PN untuk menang dan memusnahkan harapannya untuk kembali menjadi Menteri,” kata beliau.
BACA JUGA Mat Sabu arah agihan keuntungan kepada 400,000 peladang dipercepat sebelum Aidilfitri