Tiada Rumah Terbuka Aidil Fitri dari Kerajaan dan GLC tahun ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kesemua pimpinan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan tidak dibenarkan menganjurkan majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri tahun ini bagi langkah penjimatan.

Ini ekoran perang antara Iran dengan Amerika dan Israel yang dijangka akan memberikan impak kepada seluruh dunia termasuk Malaysia.

Perkara ini dimaklumkan PM Anwar dalam siding media khas yang diadakan selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

Menurut beliau, Malaysia perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ekoran perang itu termasuk kenaikan harga barang.

Bagaimana pun, katanya, buat masa sekarang harga minyak RON 95 akan kekal RM1.99 dengan kerajaan akan cuba mempertahankan harga ini.

“Berkat kecekapan pengurusan Petronas dan negara, kita dapat memberikan jaminan bekalan minyak yang cukup dan kekalkan harga RM1.99 bagi Budi Madani 95.

“Kita bersyukur, Petronas memberikan jaminan kita akan mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga Mei ini,” kata beliau dalam sidang media yang turut dihadiri Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil itu.

Perkara ini boleh dilakukan ketika harga minyak sudah meningkat sehingga tiga kali ganda di negara-negara jiran akibat perang ini.

20 peratus dari bekalan minyak dunia telah terjejas apabila Iran menutup Selat Hormuz dalam peperangan yang dihadapinya dengan Amerika dan Israel.

Dalam menghadapi situasi ini, PM Anwar berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menghadapi perkara ini.

Antaranya:-

  1. Situasi ini di pantau secara dekat oleh Jamaah Menteri, KSN dan lain-lain bagi memastikan masalah yang berbangkit akibat dari perang ini ditangani segera.
  2. Memastikan bekalan minyak terkawal. Mengikut Petronas bekalan cukup sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.
  3. Fokus akan diberikan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dari impak kenaikan harga minyak dunia.
  4. TPM 2 telah dilantik mempengerusikan JK Khas untuk memantau situasi ini secara harian termasuk mempastikan harga Diesel tidak naik khasnya di Sabah dan Sarawak akibat penyeludup.
  5. JK Khas ini akan mengkaji impak ekonomi ke atas negara pada setiap hari.
  6. Menteri dan anggota pentadbiran dihadkan lawatan keluar negara melainkan yang sudah ada dalam jadual yang wajib dihadiri.
  7. Mesyuaart Jemaah Menteri khas akan diadakan pagi Jumaat 13 Mac untuk melihat kedudukan fiscal,ekonomi dan halatuju ekoran perang ini.