Saya pakai selendang kerana hormati umat Islam di bulan Ramadan, kata Hannah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan pemakaian selendang atau tudung ketika menghadiri majlis berbuka puasa di masjid dan surau adalah sebagai tanda menghormati umat Islam sepanjang bulan Ramadan.

Ahli Parlimen Segambut berkenaan berkata, pemakaian selendang itu dibuat kerana beliau memahami adab apabila memasuki rumah ibadat.

Beliau yang juga pemimpin DAP menjelaskan perkara itu menerusi satu catatan di media sosial susulan reaksi pihak tertentu terutamanya penyokong pembangkang terhadap penampilannya memakai selendang ketika menghadiri program berbuka puasa.

“Ada apa pada sehelai selendang? Dipakai dikata sekadar wayang, tanpanya pula dituduh tidak hormat.

“Bulan Ramadan ini saya hadir di banyak majlis berbuka puasa di masjid dan surau. Masuk rumah ibadat, semestinya ada adab dan saya selesa memakai selendang,” katanya.

Hannah turut menyifatkan masih ada pihak yang tidak memahami tujuan sebenar beliau berbuat demikian walaupun ia sekadar menghormati sensitiviti tempat ibadat dan masyarakat Islam.

“Apa pun asalkan hati itu tenang. Hanya Tuhan sahaja Pemberi rahmat,” kata Hannah lagi yang turut berkongsikan gambar berselendang dan berpakaian longgar dalam satu majlis bersama rakyat.

BACA JUGA Kerajaan berjaya laksana operasi evakuasi bawa pulang rakyat terkandas di zon konflik Asia Barat