Langkah proaktif kerajaan tangani impak kenaikan harga minyak dunia dipuji
PKR Perlis menyambut baik langkah proaktif kerajaan MADANI dalam melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak dunia susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Ketua Penerangan PKR Perlis dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Syazwan Fahmi Badrul Sham berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan tegas dan bertanggungjawab dalam menangani perkembangan konflik tersebut.
Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Jemaah Menteri memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan serantau, kestabilan ekonomi global serta kebajikan rakyat Malaysia yang mungkin terkesan akibat ketegangan di rantau Asia Barat.
Beliau berkata, antara langkah penting yang diumumkan ialah pendirian tegas Malaysia mengecam serangan terhadap Iran serta usaha diplomasi aktif dengan menghubungi pemimpin negara Teluk, Turki dan Indonesia, selain Menteri Luar Iran bagi meredakan ketegangan.
Selain itu, katanya, kerajaan memberi jaminan bekalan petroleum negara berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026 hasil pengurusan cekap oleh Petronas bersama kerajaan.
Langkah mengekalkan harga petrol RON95 di bawah inisiatif Budi Madani pada paras RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat, ujarnya, membuktikan komitmen kerajaan melindungi rakyat daripada kesan kenaikan kos sara hidup.
Syazwan berkata, kerajaan turut memperkukuh penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api yang berpotensi meningkat susulan perbezaan harga bahan api antara Malaysia dan negara jiran.
Kestabilan ekonomi
Menurutnya, sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kewangan II juga ditubuhkan bagi memantau impak ekonomi konflik tersebut secara berterusan supaya langkah segera dapat diambil bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan menunjukkan kebertanggungjawaban fiskal apabila memutuskan semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini sebagai langkah berjimat cermat menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Tambahnya, PKR Perlis turut menghargai usaha kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri dalam membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas di kawasan Asia Barat.
“Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan pendekatan yang seimbang antara diplomasi antarabangsa,pengurusan ekonomi yang berhemah serta perlindungan kebajikan rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, Syazwan berkata, PKR Perlis menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha kerajaan MADANI dalam memastikan negara kekal stabil, selamat dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.
BACA JUGA Saya pakai selendang kerana hormati umat Islam di bulan Ramadan, kata Hannah