KPDN hargai petugas barisan hadapan dan golongan gelandangan, agih bantuan makanan melalui inisiatif i-FB

FB Live⦠Program Ronda Ramadan Ihsan Food Bank (i-FB) bersama YB Datuk Armizan Mohd Ali Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. 11hb Mac 2026 (Rabu)

Program Ronda Ramadan Ihsan Food Bank (i-FB) bersama Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, bermula dengan sidang media di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur sebagai sebahagian usaha menyantuni komuniti serta membantu golongan memerlukan di sekitar ibu kota.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai rakan strategik dari sektor industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan bagi menyantuni petugas barisan hadapan serta mendekati golongan gelandangan khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada program Ihsan Food Bank (i-FB) yang memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.

Antara rakan strategik yang terlibat termasuk World Trade Centre Kuala Lumpur, Mamee-Double Decker, QSR Brands, F&N Beverages Marketing, Kechara Soup Kitchen, The Lost Food Project dan ReMeal.

Melalui program tersebut, sumbangan pek makanan seperti makanan retort, makanan dalam tin dan barangan makanan kering diagihkan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Balai Bomba dan Penyelamat Sentul serta anggota Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka menjaga keselamatan rakyat.

Selain itu, program pada malam berkenaan turut mendekati golongan gelandangan dengan mengagihkan bekalan makanan sebagai usaha membantu komuniti yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Dalam perkembangan berkaitan, KPDN turut memperluaskan Program Inkubator Ihsan Food Bank yang memfokuskan kepada penghasilan makanan retort berbentuk āready-to-eatā melalui pemprosesan lebihan makanan yang masih selamat dimakan. Melalui program ini, KPDN menyediakan kemudahan mesin retort kepada rakan strategik bagi memproses lebihan makanan menjadi produk makanan tahan lama.

Setakat ini, sebanyak 14 mesin retort telah disediakan oleh KPDN dan diagihkan kepada beberapa rakan strategik termasuk Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, Le MƩridien Putrajaya, Putrajaya Marriott Hotel serta Politeknik Sultan Idris Shah di Sabak Bernam.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu memanjangkan jangka hayat makanan, malah memastikan lebihan makanan dapat dimanfaatkan oleh golongan memerlukan, selaras dengan usaha menyelamatkan makanan serta mengurangkan pembaziran.

Menurut statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari, dengan sekitar 4,000 tan metrik daripadanya berpotensi untuk diselamatkan dan dimanfaatkan.

Sehubungan itu, KPDN berharap usaha melalui Inisiatif i-FB dapat terus memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam membantu golongan memerlukan serta mengurangkan pembaziran makanan di negara ini.
