Ketika Bersatu berpecah, Mahiaddin rancang IPR sertai PN, pembangkang terus bereksperimen
Ketika Bersatu berdepan krisis dalaman meruncing, Presidennya, Tan Sri Mahiaddin Yassin terus cuba bereksperimen dengan menjaja Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
Menurutnya, satu Sekretariat Bersama akan ditubuhkan bagi memperkukuh gabungan kerjasama pembangkang yang baharu dibentuk itu.
Mahiaddin berkata, sekretariat tersebut akan dianggotai oleh Setiausaha Agung daripada lebih 10 parti politik yang berada di bawah blok berkenaan.
Jelasnya, penubuhan sekretariat itu bertujuan memastikan kerjasama antara parti-parti dalam IPR dapat diterjemahkan kepada hubungan politik yang lebih bermakna pada masa hadapan.
Beliau turut membayangkan kemungkinan IPR bekerjasama secara lebih rapat dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk jangka masa panjang.
“Saya selaku salah seorang Timbalan Pengerusi PN akan membawa perkara itu ke Majlis Tertinggi PN untuk mempertimbang bagaimana bentuk kerjasama yang harus kita jalin.
“Ia bukan setakat yang sudah sedia ada secara longgar saja tetapi khususnya untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Antara pertimbangan yang mungkin kita buat adalah sama ada IPR boleh menyertai PN secara langsung atau menubuhkan pakatan pilihan raya dalam masa pilihan raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Pengamal Media di Kuala Lumpur, malam tadi.
Penubuhan IPR dilihat sebagai eksperimen parti-parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), tanpa menggantikan gabungan utama seperti PN.
Gabungan IPR yang diumum Mahiaddin tahun lalu merupakan satu gabungan longgar parti-parti pembangkang di luar blok kerajaan MADANI dengan tema ‘Selamatkan Malaysia’.
Selain Bersatu dan Pas, parti-parti yang disebut berada di bawah gabungan IPR ialah Gerakan, Berjasa, Pejuang, Muda, Malaysian Indian People’s Party (MIPP), Malaysian Indian Muslim Congress (KIMMA).
Turut menganggotai IPR adalah Malaysian Advancement Party (MAP), National Indian Muslim Alliance Party (IMAN) serta United for the Rights of Malaysians Party (Urimai).
BACA JUGA Rupanya ini punca 1 maut, 12 ditahan di Jalan Gombak ketika tarawih malam tadi