Hulu Langat anjur Langek Kacau Dodol MADANI 2.0, 101 Kawah simbol perpaduan komuniti

FOTO BERITA: Sidang Media Langek Kacau Dodol MADANI 2.0 (101 Kawah) bersama YB Tuan Sany Hamzan Ahli Parlimen Hulu Langat di Kompleks Penghulu Batu 14, Hulu Langat, Selangor. 12hb Mac 2026 (Khamis)

Sidang media pelancaran program Langek Kacau Dodol MADANI 2.0 (101 Kawah) dan Karnival Mantai Perdana 2026 telah diadakan bersama Sany Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat, di Kompleks Penghulu Batu 14 hari ini. Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat itu disifatkan sebagai usaha menggabungkan warisan tradisi dengan agenda kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan komuniti serta kebajikan masyarakat.

Menurut Sany Hamzan, penganjuran Langek Kacau Dodol MADANI 2.0 akan berlangsung pada 14 Mac ini di Stadium Mini Pekan Batu 14 dengan penyediaan 101 kawah dodol secara serentak sebagai simbol semangat gotong-royong dan perpaduan masyarakat setempat.

Selain itu, Karnival Mantai Perdana 2026 pula akan diadakan dari 17 hingga 19 Mac di Tapak Uptown Bandar Tasik Kesuma yang menawarkan jualan daging segar selama 22 jam tanpa henti bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan pada harga berpatutan menjelang musim perayaan.

“Program ini bukan sekadar aktiviti bermusim, tetapi manifestasi agenda Segalanya Untuk Rakyat bagi memastikan perpaduan ummah diperkukuh serta kebajikan ekonomi warga Hulu Langat terus terpelihara,” katanya ketika sidang media tersebut.

Acara kemuncak pada 14 Mac di Stadium Mini Batu 14 akan dimulakan dengan proses memasak dodol secara tradisional bermula jam 12 tengah hari, diikuti gimik perasmian pada jam 4 petang yang menandakan bermulanya aktiviti mengacau 101 kawah dodol secara serentak.

Bagi menambah pengisian rohani, sesi tazkirah khas bertajuk “Berkat & Hebatnya Amalan Bersedekah” akan disampaikan oleh penceramah jemputan Harryanto Rizal Rokman sebelum edaran Dodol MADANI kepada orang ramai pada waktu malam.

Orang ramai juga digalakkan membawa tikar dan berkumpul bersama keluarga bagi memeriahkan suasana pesta rakyat yang turut dimeriahkan dengan gerai usahawan tempatan dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Program berkenaan dijangka turut diserikan kehadiran Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, yang akan menyempurnakan perasmian Karnival Mantai Perdana 2026. Mengulas lanjut, Sany Hamzan menegaskan penganjuran program ini berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu memperkukuh perpaduan sosial melalui tradisi gotong-royong, memupuk pembangunan insan melalui pengisian kerohanian serta memastikan keterjaminan ekonomi rakyat menerusi akses kepada bekalan makanan segar pada harga berpatutan.
