Pelaburan Pulau Pinang lebih seimbang berbanding Kedah bukti hala tuju Ekonomi MADANI berkesan

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil menyifatkan prestasi pelaburan yang lebih seimbang di Pulau Pinang berbanding Kedah membuktikan keberkesanan hala tuju ekonomi yang dipacu Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Kedah yang ditadbir oleh Pas mencatatkan kemerosotan ketara dalam prestasi pelaburan apabila jumlah pelaburan diluluskan bagi tahun 2025 ketara merosot hampir 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu berkata, nilai RM27.8 bilion yang direkodkan juga merupakan pencapaian terendah negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) itu dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Data rasmi turut menunjukkan struktur pelaburan di Kedah masih kekal sempit dan tidak seimbang apabila hampir 90 peratus pelaburan diluluskan tertumpu kepada sektor pembuatan semata-mata.

“Kebergantungan terlalu besar kepada satu sektor menimbulkan kebimbangan kerana tanpa sektor perkhidmatan yang kukuh, negeri itu berisiko ketinggalan dalam usaha membina ekonomi bernilai tinggi,” kata Faiz dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu berkata, situasi tersebut berbeza dengan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) yang mempamerkan ekosistem pelaburan lebih seimbang dan pelbagai.

Menurutnya, bagi tahun 2025 sebanyak 68 peratus pelaburan diluluskan di Pulau Pinang berada dalam sektor pembuatan manakala 32 peratus lagi dalam sektor perkhidmatan.

“Secara keseluruhan, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM32.9 bilion, meningkat berbanding tahun sebelumnya.

“Ini menjadikan jumlah pelaburan Pulau Pinang sekitar 18 peratus lebih tinggi daripada Kedah,” katanya.

Inisiatif Kerajaan Persekutuan

Faiz turut menjelaskan bahawa sebahagian besar projek pelaburan utama di Kedah sebenarnya dipacu oleh inisiatif Kerajaan Persekutuan seperti pembangunan Kulim Hi-Tech Park, Kedah Rubber City dan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone.

Pada masa sama, katanya, pembangunan ekonomi di Kedah masih belum berkembang secara menyeluruh untuk menarik pelaburan besar dalam sektor perkhidmatan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri Kedah tidak seharusnya mendabik dada kononnya pelaburan tinggi ke negeri tersebut adalah usaha kerajaan negeri.

Tegasnya, kedudukan pelaburan ke negeri-negeri membuktikan Kerajaan MADANI kekal komited memacu pembangunan secara inklusif tanpa mengira fahaman politik.

“Komitmen ini jelas terbukti apabila Kedah masih berjaya menarik lebih RM27 bilion pelaburan diluluskan pada tahun 2025.

“Ini menunjukkan tiada negeri dianak tirikan dengan pendekatan politik matang yang ditunjukkan kerajaan MADANI,” katanya.

Justeru, kata Faiz, hala tuju ekonomi yang dipacu kerajaan MADANI berkesan dalam membangunkan negara secara seimbang dan mampan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri Kedah memberi tumpuan kepada strategi lebih proaktif bagi memastikan kelangsungan ekonomi negeri itu, berbanding sibuk bermain politik mencemburui prestasi ekonomi Pulau Pinang.

“Masanya telah tiba untuk kerajaan negeri Kedah sedar dari mimpi untuk mengambil semula Pulau Pinang, yang secara sah adalah sebuah negeri berdaulat di sisi Perlembagaan Persekutuan,” kata Faiz lagi.

BACA JUGA 5 fakta menarik tentang Datuk Marina Md Yusoff yang ramai tidak tahu