Dari isu binaan haram ke provokasi agama, penghasut dua pihak ‘kasi’ angkut

Oleh LIYANA MARZUKI

Ia bermula dengan isu undang-undang. Isu binaan haram. Saya sokong dengan beberapa posting. Siap buat kajian di India. Bilamana tanah awam di sana kena hijack sebab kuil dipacak. Namun, mahkamah tetap putuskan pencerobohan itu salah.

Saya tulis lagi perlunya ada undang-undang seragam, Akta Rumah Ibadah/ Anutan untuk selesaikan isu berdekad lama.

Sejak tahun 70-an sampai sekarang, setiap dekad ia berulang. Saya salahkan PBT dan penguatkuasa lambat bertindak hinggakan marah orang membuak-buak.

Bilamana al-Quran dipijak saya kecam. Buat posting agar rakan-rakan daripada kalangan bukan Islam pun nampak perkara ini salah.

Namun, bila ada yang nak jadi vigilante, musnahkan rumah ibadat haram dengan berlagak sekali, siap upload di media social, bergelak ketawa dan memerli, saya rasa pelik sekali.

Ada implikasi undang-undang. Musnahkan rumah ibadat hatta haram, ada kesalahan jenayah bawah Kanun Keseksaaan.

Lebih afdal dibuat dengan polis di sisi. Bukan dibuldoze ketika dinihari. Itu sudah jadi provokasi.

Bayangkan kalau kaum lain musnahkan surau/ masjid tanpa polis dan penguasa. Apa pula perasaan kita?

True enough, timbal balas muncul. Aktivis yang lantang dibakar keretanya. Ini dah escalate ke tahap tiga. Sudah perlu berjaga-jaga. Boleh timbul sengketa agama.

Namun semalam, ada pula yang buat video, pergi ke kawasan kuil, pijak alat sembahan orang dan siap buat kapsyen “aktiviti masa lapang”.

Rakannya buat posting troll di media sosial. Memerli alat sembahan orang lain. Disambut gelak ketawa ribuan troll farm dan fake account.

Rakyat yang waras, bila dah tengok ada timbal balas dan risiko sengketa agama, akan mula bertenang.

Namun, mereka ini, walaupun tahu ada bahaya, boleh pulak buat posting mengundang.

Berperangai pelik

Salah tetap salah. Untuk mana-mana pihak. Namun bila ada yang berperangai pelik, ramai sudah mula tarik handbreak. Malah, yang pernah menyokong mereka sudah mula mengkritik.

Pada saya mudah, kerajaan jangan berlembut dengan penghasut, kedua-dua belah pihak kasi angkut.

Dah ada risiko sengketa agama, maka kepentingan awam mengatasi hak individu. Yang berani main api dalam sekam, dan kononnya pejuang harus hadam.

Negara ini negara berkanun. Penceroboh dan pemijak al-Quran kita hentam.

Sama juga, dengan mereka yang tidak tahu sempadan berjuang. Sekiranya ada yang menunggang, moga kanun tertegak, dan undang-undang menilai yang hak.

*LIYANA MAZUKI merupakan bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara.

BACA JUGA Rumah Bangsa usaha Umno nak jadi ‘abang besar’ kembali, kata Sanusi