AMANAH cadang PRU16 diadakan serentak dengan PRN Melaka, Johor

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat mencadangkan agar kerajaan mempertimbang melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) secara serentak melibatkan Parlimen dan DUN bagi menjimatkan kos.

Ia katanya, selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan dan rakyat mengambil pendekatan berhemah serta berjimat bagi menghadapi kemungkinan kesukaran ekonomi akibat ketidaktentuan geopolitik dunia.

Dalam konteks ini jelas Suhaizan, sekiranya PRU16 dirancang secara strategik, pilihan raya Parlimen dan beberapa negeri termasuk Melaka serta Johor boleh dipertimbangkan untuk diadakan lebih awal dan secara serentak.

“Saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan PRU16 secara serentak bagi menjimatkan kos serta mengurangkan ketidaktentuan politik.

“Pendekatan ini mempunyai beberapa kelebihan utama iaitu penjimatan kos yang besar kepada negara kerana pilihan raya tidak perlu diadakan secara berasingan.

“Selain itu mampu mengurangkan keletihan politik (political fatigue) akibat pilihan raya yang kerap.

“Ia juga dapat memberikan mandat yang lebih jelas dan stabil kepada kerajaan di semua peringkat untuk memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Suhaizan, dalam keadaan dunia semakin tidak menentu, negara memerlukan kestabilan politik, disiplin fiskal dan perancangan strategik agar rakyat lebih bersedia menghadapi sebarang kesan daripada krisis global.

“Saya percaya cadangan ini wajar dipertimbangkan secara serius demi kepentingan negara dan rakyat,” ujarnya.

BACA JUGA Pas tolak Rumah Bangsa Umno yang umpama payung buruk, kata Hadi