Media AS lapor siasatan awal dapati peluru berpandu Amerika yang bunuh ratusan pelajar Iran

Siasatan awal tentera Amerika Syarikat mendapati negara itu bertanggungjawab terhadap satu serangan peluru berpandu Tomahawk yang mengenai sebuah sekolah rendah di Iran, menurut laporan akhbar The New York Times.

Siasatan awal itu telah mencetuskan persoalan besar mengenai kegagalan menyemak semula maklumat sasaran sebelum serangan dilancarkan.

Menurut laporan itu, serangan pada 28 Februari lalu ke atas bangunan Sekolah Rendah Shajarah Tayyebeh di Minab dipercayai berpunca daripada kesilapan sasaran oleh tentera Amerika yang ketika itu melancarkan serangan terhadap sebuah pangkalan Iran berhampiran kawasan berkenaan.

Dapatan awal mendakwa pegawai tentera Amerika menggunakan koordinat lama yang dibekalkan oleh agensi perisikan pertahanan negara itu. 

Data berkenaan masih menganggap bangunan tersebut sebagai sebahagian daripada kemudahan ketenteraan Iran.

Sedangkan bangunan itu sebenarnya telah lama dipisahkan daripada pangkalan berkenaan dan digunakan sebagai sekolah rendah.

Pegawai yang terlibat dalam siasatan berkata maklumat lapuk itu tidak disemak semula sebelum serangan dilancarkan.

Serangan tersebut dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 175 orang, dengan kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak, menjadikannya antara kesilapan ketenteraan paling dahsyat dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Laporan itu turut menimbulkan persoalan mengapa maklumat sasaran yang digunakan tidak disemak atau disahkan semula sebelum operasi dilaksanakan, walaupun perubahan pada kawasan tersebut sebenarnya boleh dikenal pasti melalui imej satelit.

Pegawai yang terlibat dalam siasatan dipetik berkata, masih terdapat banyak persoalan belum terjawab, termasuk bagaimana data lama itu boleh digunakan dalam operasi ketenteraan serta mengapa tiada pihak yang mengesahkan ketepatan maklumat berkenaan.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat merupakan satu-satunya negara yang menggunakan peluru berpandu Tomahawk dalam konflik tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peranan Washington dalam serangan berkenaan.

Pada masa sama, pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan cuba menolak tanggungjawab terhadap serangan berkenaan, dengan mendakwa Iran adalah pihak bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.

BACA JUGA AMANAH cadang PRU16 diadakan serentak dengan PRN Melaka, Johor