Rumah Bangsa ditolak, nama DAP pula dijaja: Inilah politik tempang Hadi Awang

Dalam keadaan negara sedang mencari ruang yang lebih luas untuk memperkukuh perpaduan nasional dan meredakan suhu politik yang terlalu lama dipanaskan oleh retorik perpecahan, cadangan Rumah Bangsa yang digagaskan oleh Ahmad Zahid Hamidi seharusnya dilihat sebagai satu usaha politik yang matang. 

Idea tersebut pada asasnya bertujuan membuka ruang dialog dan kesefahaman antara parti-parti politik Melayu dan Bumiputera dalam kerangka negara yang lebih stabil. 

Namun seperti yang sering berlaku, cadangan yang berniat baik itu sekali lagi disambut dengan nada sinis dan penolakan keras oleh Presiden Abdul Hadi Awang.

Alasan yang diberikan oleh Hadi bukan sahaja lemah dari sudut hujah, malah memperlihatkan kedangkalan pemikiran politik yang semakin sukar dipertahankan dalam realiti Malaysia moden. 

Dengan menyifatkan Rumah Bangsa sebagai tidak berada di bawah “payung yang selamat” malah menyindirnya sebagai “payung buruk”, beliau sekali lagi memilih retorik yang memecah-belahkan, bukannya memperkukuh kesatuan umat.

Lebih membimbangkan, seperti kebiasaan lama, Hadi tidak gagal untuk sekali lagi mengheret nama DAP ke dalam polemik yang langsung tidak ada kaitan dengan cadangan tersebut. 

Inilah penyakit politik yang semakin kronik dalam wacana beliau: Setiap isu, walaupun tidak berkaitan, akhirnya akan dipulas sehingga menjadi cerita kononnya UMNO “berwala’” kepada DAP. Tuduhan paling dangkal! 

Sedangkan 14 tahun lalu pada 8 Ogos 2012 Haji Hadi sendiri pernah menggegarkan negara dengan kenyataannya “wajib sokong DAP, haram sokong UMNO hingga kiamat!”. Kenyataan rosak mental.

Hakikatnya, cadangan Rumah Bangsa yang dibawa oleh Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai kaitan langsung dengan DAP. 

Ia adalah usaha untuk membina jambatan politik dalam kalangan parti-parti Melayu yang selama ini terperangkap dalam konflik berpanjangan. 

Namun bagi Hadi, logik politik sering tunduk kepada naratif propaganda yang memerlukan musuh tetap—dan dalam imaginasi politik Pas, musuh itu hampir sentiasa DAP.

Ironinya, sejarah politik negara masih segar mengingatkan rakyat bahawa Pas sendiri suatu ketika dahulu tidak mempunyai sebarang masalah untuk “bercium mulut” secara politik dengan DAP. 

Ketika Pas berada dalam pakatan pembangkang dahulu, khususnya dalam kerangka Pakatan Rakyat, DAP bukan sahaja dianggap rakan politik yang sah, malah sering digambarkan sebagai sekutu strategik dalam perjuangan menentang Barisan Nasional. 

Pada waktu itu, tidak kedengaran pula dakwaan bahawa DAP adalah ancaman kepada Islam atau Melayu.

Ketika Pas memerlukan sokongan politik dan angka kerusi, DAP seolah-olah menjadi “dara sunti” dan “dara idaman” dalam bahasa sinis politik yang sering digunakan oleh pemerhati. 

Namun apabila percaturan politik berubah dan Pas memilih jalan baharu, DAP tiba-tiba dijadikan punca segala keburukan. 

Naratif sebegini bukan sahaja bersifat hipokrit, malah merendahkan tahap intelektual perdebatan politik negara.

Lebih malang lagi, dalam saat negara memerlukan politik yang matang dan berorientasikan penyelesaian, Hadi memilih jalan lama: menyemai curiga, memupuk syak wasangka, dan menanam benih perpecahan. 

Idea yang bertujuan menyatukan bangsa ditolak mentah-mentah hanya kerana ia tidak lahir dari lingkungan politik beliau sendiri.

Sikap ini sebenarnya mencerminkan satu pola yang konsisten dalam politik Hadi: Segala usaha perpaduan akan dianggap baik hanya jika ia berada di bawah telunjuk Pas. 

Jika tidak, ia akan dicurigai, diputar belit, dan akhirnya ditolak. Politik seperti ini bukan politik kepimpinan; ia politik hegemoni yang tidak mampu menerima realiti kepelbagaian dalam masyarakat.

Dalam masa yang sama, timbul pula persoalan yang lebih besar apabila Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, dilaporkan terlibat dalam pertemuan politik di Bangkok. 

Pertemuan tersebut menimbulkan pelbagai tanda tanya mengenai agenda sebenar yang sedang dirancang oleh kepimpinan Pas di luar negara.

Jika Rumah Bangsa yang bertujuan membina persefahaman dalam negara ditolak dengan alasan “payung buruk”, maka apakah pula payung yang menaungi pertemuan politik di Bangkok itu? 

Apakah agenda sebenar yang sedang diusahakan? Dan mengapa pertemuan seperti itu dianggap wajar, sedangkan usaha dialog terbuka dalam negara dipandang serong?

Persoalan-persoalan ini wajar dijawab oleh Pas dengan jujur kepada rakyat. Politik tidak boleh terus dibina atas retorik moral yang selektif—keras terhadap pihak lain tetapi longgar terhadap tindakan sendiri.

Malaysia hari ini memerlukan politik yang berani keluar daripada kepompong lama. Negara tidak akan maju jika setiap usaha perpaduan ditolak hanya kerana ia datang daripada pihak yang berbeza. 

Politik kebencian, fitnah dan paranoia terhadap rakan politik yang berbeza ideologi hanya akan membawa negara ke jalan buntu.

Dalam konteks ini, kenyataan Hadi bukan sahaja memperlihatkan kelemahan hujah, malah mencerminkan satu bentuk pemikiran politik yang semakin terasing daripada aspirasi rakyat. 

Rakyat mahu kestabilan, pembangunan dan kesatuan. Tetapi Hadi seolah-olah terus memilih jalan yang bertentangan: Jalan kecelaan politik, perpecahan, dan kecurigaan yang tidak berkesudahan.

Jika benar matlamatnya adalah untuk “menyelamatkan negara”, maka menolak idea perpaduan sambil menabur fitnah terhadap pihak lain bukanlah jalannya. 

Sebaliknya, ia hanya mengesahkan satu perkara yang semakin jelas di mata rakyat bahawa politik kebencian lebih penting bagi beliau daripada masa depan negara.

Penulis merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam , Jordan

BACA JUGA Kamil cadang kerajaan laksana kerja dari rumah ekoran harga minyak melonjak