AMANAH ajak rakyat bersama kerajaan, berjimat hadapi kesan ekonomi perang Iran

Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional yang diadakan petang tadi mengambil maklum saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa langah penjimatan perlu diambil susulan perang yang berlaku melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

AMANAH membuat beberapa ketetapan termasuklah menyeru pertubuhan AMANAH di semua peringkat dan ahli-ahli untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini secara berhemah dan sederhana.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil turut membuat seruan kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan kerajaan membuat persediaan berhadapan sebarang cabaran ekonomi susulan perang ini dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat.

“AMANAH berpendirian bahawa Amerika Syarikat dan Israel perlu menghentikan segera perang terhadap Iran. Keamanan di Timur Tengan temasuk di Palestin perlu ditegakkan segera kerana perang ini boleh menyebabkan kesan besar kepada ekonomi global. 

“Jika perang ini berterusan, Malaysia bakal berdepan situasi ekonomi yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Pada masa sama Faiz mengingatkan pembangkang untuk tidak mempolitikkan isu perang yang sedang tercetus ini untuk kepentingan politik. 

Ini kerana kata beliau, kenaikan harga minyak adalah kesan global, namun AMANAH percaya kerajaan Madani akan mengambil semua langkah perlu menstabilkan harga minyak dalam negara. 

BACA JUGA Kamil cadang kerajaan laksana kerja dari rumah ekoran harga minyak melonjak