Isu sensitif agama jangan diadili sendiri, serah kepada pihak berkuasa — Sany Hamzan

Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan menegaskan bahawa perpaduan kaum merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negara terus terpelihara, selain mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap isu sensitif berkaitan agama atau kaum.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai isu perpaduan negara yang berlangsung di Kompleks Penghulu Batu 14 di sini hari ini.

Menurut beliau, program komuniti seperti Langek Kacau Dodol MADANI dan Karnival Mantai Perdana yang dianjurkan di Hulu Langat bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan, malah menjadi platform mengukuhkan ukhuwah, silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

“Program seperti ini menggabungkan masyarakat tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan mahupun Orang Asli. Di situlah lahirnya persahabatan dan silaturahim yang mampu mentautkan hati rakyat,” katanya.

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu memahami dan menghormati adat resam, pantang larang serta budaya setiap kaum bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

“Orang Cina perlu memahami budaya Melayu, begitu juga orang Melayu perlu mempelajari adat dan budaya masyarakat Cina, India, Iban, Kadazan serta Orang Asli. Kepelbagaian ini sebenarnya kekuatan negara kita,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyerahkan sebarang isu sensitif kepada pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang hukuman sendiri.

“Negara kita ada undang-undang dan badan penguat kuasa. Jika ada perkara yang kita tidak bersetuju, buat laporan kepada polis dan biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun Islam merupakan agama Persekutuan, penganut agama lain tetap bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti yang dijamin dalam perlembagaan negara.

Menurutnya lagi, kemajuan ekonomi dan kestabilan Malaysia hari ini adalah hasil kesepaduan rakyat pelbagai kaum yang hidup dalam suasana harmoni.

“Untuk membangunkan negara amat sukar, tetapi untuk menghancurkannya sangat mudah jika kita memainkan sentimen agama, kaum dan bangsa. Sebab itu perpaduan adalah perkara yang tidak boleh kita kompromi,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri di kawasan Parlimen Hulu Langat, beliau berkata pihaknya akur dengan arahan kerajaan supaya menghadkan penganjuran rumah terbuka berikutan situasi semasa di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk majlis rumah terbuka akan disalurkan kepada program kebajikan bagi membantu golongan memerlukan seperti orang kurang upaya (OKU), anak yatim dan warga emas.

“Kita akan gunakan peruntukan itu untuk turun padang menziarahi masyarakat yang memerlukan melalui program Ziarah Kasih Ramadan dan menyampaikan sumbangan kepada mereka,” katanya.

Beliau menambah bahawa program ziarah tersebut akan diteruskan sepanjang Ramadan dan selepas Aidilfitri bagi memastikan kebajikan masyarakat di kawasan Parlimen Hulu Langat terus terbela.