Rumah Bangsa: Pas tidak minat jaga Melayu/Islam, hanya jaga diri sahaja

Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai Rumah Bangsa membuktikan Pas tidak pernah berminat kepada kepentingan orang Melayu dan Islam tetapi sekadar menjaga kepentingan diri sahaja.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kenyataan Minda Presiden Pas yang menyindir usaha dialog parti-parti politik Melayu Islam yang diusahakan UMNO sekali lagi memperlihatkan pendekatan ala Khawarij parti itu yang gemar melabel, menghina dan meragui keikhlasan pihak lain hanya kerana berbeza pandangan politik.

Dalam kenyataan tersebut, pelbagai tuduhan dan metafora telah digunakan seperti “bisikan syaitan”, “hantu raya” hingga mempertikaikan amalan pihak lain, seolah-olah hanya Pas sahaja yang membawa Islam, manakala orang lain dianggap tersasar atau dipengaruhi unsur yang menyesatkan.

“Pendekatan seperti ini bukan sahaja tidak matang, malah sangat berbahaya kerana menjadikan agama sebagai alat untuk menghukum dan merendahkan pihak lain.

“Islam tidak pernah mengajar umatnya meragui iman orang lain semata-mata kerana perbezaan politik,” kata Mujahid dalam satu kenyataan beliau hari ini.

Katanya, tradisi Islam di negara ini sejak dahulu menekankan hikmah, kesederhanaan dan adab dalam berbeza pandangan, bukan budaya melabel dan merendah-rendahkan sesama sendiri.

Al-Quran mengingatkan:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka lebih baik daripada mereka.”
(Surah al-Hujurat: 11)

Katanya Mujahid, ketika pelbagai pihak cuba membuka ruang dialog dan mencari titik pertemuan demi kepentingan umat dan negara, pendekatan menghina serta menolak usaha ini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan menajamkan lagi perpecahan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia.

“Sehubungan itu, kami menyeru orang Melayu dan umat Islam supaya menolak politik yang memonopoli agama untuk menyerang dan merendahkan pihak lain,” katanya.

Katanya, Malaysia memerlukan politik yang rahmah, beradab dan menyatukan, bukan politik yang memecah-belahkan masyarakat dengan retorik agama yang sempit dan penuh prasangka.

Firman Allah:

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.”
(Surah al-Nahl: 125)

BACA JUGA Kekecohan mula landa dunia, namun Malaysia masih bertenang