Sambut Hari Raya macam biasa, jangan risau bekalan makanan cukup

Umat Islam di negara ini boleh menyambut hari raya dalam keadaan biasa kerana bekalan makanan adalah cukup walaupun perang di Timur Tengah sudah lebih 10 hari berlangsung.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bekalan makanan untuk Hari Raya Aidil Fitri kali ini mencukupi walaupun ada sekatan di Selat Hormuz akibat perang.

“Sambutlah Hari Raya kali ini macam biasa. Insya Allah bekalan makanan terjamin. Beras pula Kabinet dah setuju, kita akan tambah stoknya sehingga sembilan bulan, ianya mencukupi,” kata beliau.

Namun, untuk jangka panjang, kerajaan akan membuat kempen menghasilkan produk makanan yang boleh memberikan hasil dalam jangka pendek seperti sayur sayuran.

“Untuk jangka panjang, saya akan arahkan pegawai di kementerian untuk membuat kempen tanam sayuran makanan yang hasilnya cepat seperti cili, terung, kucai dan sebagainya.

“Kita akan memulakan kempen itu seperti kempen Buku Hijau yang dilancarkan oleh Tun Razak dahulu,” kata beliau.

Mohamad mengadakan sidang media bersama Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebaik sahaja Mesyuarat Kabinet Khas selesai hari ini.

Mesyuarat Khas ini diadakan bagi membincangkan kedudukan negara ekoran perang yang berlangsung antara Iran dengan Amerika dan Israel di Timur Tengah sekarang yang mengakibatkan Selat Hormuz ditutup oleh Iran.

Dalam pada itu, Amir Hamzah memaklum, Malaysia mungkin mengalami gangguan bekalan baja urea, sulfur dan helium kerana ia kebanyakannya diimport dari Timur Tengah.

Walaupun Malaysia pengeluar minyak, harga minyak ditetapkan oleh mekanisme dunia menyebabkan harganya meningkat ekoran tertutupnya Selat Hormuz yang menjadi laluan 20 peratus minyak dunia.

“Kerajaan akan mengekalkan harga RM1.99 untuk Ron 95 sebagai mekanisme bantuan kerajaan kepada rakyat,” kata Amir Hamzah.

Namun begitu, jika perang berpanjangan, ia akan menjejaskan pendekatan kerajaan ini.

Oleh itu, katanya, langkah penjimatan perlu dibuat dari sekarang termasuk membatalkan majlis rumah terbuka, lawatan keluar negara dan beberapa langkah lain termasuk kerja dari rumah dan sebagainya.

BACA JUGA Rumah Bangsa: Pas tidak minat jaga Melayu/Islam, hanya jaga diri sahaja