Muda hadapi pemilihan pertamanya ketika masa depan tidak menentu
Muda bakal mengadakan pemilihan dalaman pertamanya pada Sabtu ini selepas empat tahun penubuhan parti itu.
Namun di sebalik imej yakin yang cuba ditampilkan oleh “pemimpin” baharunya, parti itu jelas berada dalam keadaan tidak terurus.
Walaupun mendakwa mempunyai 85 bahagian yang berdaftar, parti enggan mendedahkan jumlah keahlian mereka dalam satu wawancara dengan Malaysiakini yang diterbitkan hari ini.
Apa yang jelas ialah satu-satunya Ahli Parlimen parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan bertanding dalam pemilihan parti tersebut.
Sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar pada pilihan raya umum akan datang juga masih menjadi tanda tanya.
Beliau memenangi kerusi itu di bawah tiket Bersatu pada 2018 dan atas tiket Muda pada 2022.
Selain itu, kelompok aktivis dalam parti itu turut terjejas susulan pengunduran aktivis utama Amir Hadi yang meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung serta berundur daripada kepimpinan tertinggi parti dengan alasan peribadi.
Amir berkata beliau memilih untuk meletakkan jawatan daripada kepimpinan MUDA bagi memberi tumpuan kepada peranannya sebagai pengarah eksekutif Mandiri, sebuah NGO berasaskan belia.
Ia bukanlah petanda yang meyakinkan terhadap masa depan MUDA, malah keadaan menjadi lebih buruk apabila beliau digantikan oleh Ainie Haziqah yang sebelum ini berasal daripada Bersatu.
Ketika ini, MUDA masih teragak-agak mengenai sebarang kerjasama gabungan, selepas kerjasama yang dianggap gagal dengan PSM menyaksikan beberapa calon mereka hilang wang deposit.
Selain Syed Saddiq, satu lagi wakil rakyat parti itu ialah ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz.
Amira memenangi kerusi tersebut ketika Muda bekerjasama dengan Pakatan Harapan, namun kini bekas sekutu mereka, AMANAH dan PKR, sedang bersaing untuk menentukan siapa yang akan mengambil alih kerusi itu.
Difahamkan seramai 31 calon akan bertanding bagi merebut 25 jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu pada hujung minggu ini.
Namun jelas ini bukanlah satu permulaan baharu atau usaha pembaharuan. Sebaliknya menandakan pengakhiran bagi satu eksperimen yang gagal, sebuah parti tanpa masa depan.
BACA JUGA Sambut Hari Raya macam biasa, jangan risau bekalan makanan cukup