Kerajaan dinasihat berhati-hati jangan sampai dilihat sekat kebebasan suara
Perkembangan terkini yang menyaksikan seorang ahli akademik dan seorang aktivis dipanggil polis berhubung dakwaan terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan, menimbulkan kebimbangan akan tercetusnya persepsi bahawa Kerajaan MADANI cuba menakut-nakutkan mereka yang bersuara.
Menurut Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, selagi apa yang dibicarakan tidak menghasut sentimen perkauman dan agama, maka kebebasan bersuara itu harus dipertahankan.
Apatah lagi katanya, parti komponen dalam Kerajaan Madani, terutamanya Pakatan Harapan (PH), diberi mandat rakyat atas janji untuk mendukung kebebasan bersuara.
“Dalam kes Prof Madya Syaza Shukri dan Pushpan Murugiah, tiada unsur 3R dikesan.
“Kerajaan sepatutnya menghormati hak dan kebebasan mereka bersuara dan berpersatuan, atas kapasiti sebagai ahli akademik dan aktivis.
“Harus kita ingat, tanpa ahli akademik yang bercakap benar, dan NGO yang bergiat untuk menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mustahil kita berada di mana kita berada sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk laporan berita bahawa Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Madya Syaza Shukri dipanggil polis untuk membantu siasatan terhadap dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan, susulan pandangan yang dinyatakan dalam South China Morning Post pada 26 Disember 2024.
Sebelum ini juga, CEO Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Pushpan Murugiah juga dipanggil untuk disoal siasat selepas namanya muncul dalam satu e-mel terkait “individu amat berpengaruh” yang terlibat dalam usaha menggugat kerajaan melalui sebuah organisasi media antarabangsa.
Menurut Kar Hing, kerajaan perlu berhati-hati dalam berhujah mengenai hal “menggulingkan kerajaan” supaya tidak dilihat sebagai “double standard” oleh pengundi.
Beliau mengingatkan, ketika PH menjadi pembangkang satu ketika dahulu, gabungan itu juga tidak pernah menyorok cita-cita untuk mengambil alih kerajaan, selagi ianya mengikut saluran yang dibenarkan undang-undang.
Justeru, beliau menegaskan bahawa tindakan yang berlebihan ke atas ahli akademik dan aktivis yang bukan terlibat dalam isu perkauman dan agama, hanya akan mengundang persepsi mengelirukan seolah-olah kerajaan ini sedang “mengasah kuku besinya”.
“Sedangkan, jika pun kerajaan perlu mengetatkan kawalan, ia harus tertumpu kepada ucapan yang menghasut kebencian di media sosial, juga aktivis yang melaga-lagakan kelompok kaum dan agama berlainan, dengan sindiran dan label yang melampau.
“Kita menjamin kebebasan bersuara dan berpersatuan, pada masa yang sama, bertegas untuk menggariskan batas agar kebebasan tidak disalahguna untuk memprovokasi dan memporak-perandakan masyarakat, kerana kita mahu membina sebuah negara majmuk yang harmoni.
“Kita wajar berpegang dengan janji-janji ini, agar kita tidak menjadi kerajaan yang pernah kita tentang dahulu,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Muda hadapi pemilihan pertamanya ketika masa depan tidak menentu