Akhirnya Pelabuhan Ketiga Pulau Carey diluluskan, Selangor bakal jadi pintu ekonomi utama Asia Tenggara
Kerajaan negeri Selangor berhasrat untuk melengkapkan Pelan Induk Pembangunan Pelabuhan Pulau Carey susulan keputusan Jemaah Menteri untuk meluluskan pembangunan Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey, Selangor.
Perancangan ini telah diusahakan kerajaan negeri sejak 2023 lagi sehingga ke kemuncak pertemuan antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan pasukannya bersama Perdana Menteri serta pasukan Menteri Pengangkutan pada 15 Disember 2025.
Amirudin berkata, pelan Induk yang dijangka untuk disiapkan ini akan meliputi pelbagai aspek termasuk infrastruktur awam seperti utiliti, tenaga boleh baharu, pengangkutan awam, keterhubungan digital, kawasan perindustrian, perumahan, kawasan perindustrian, serta pemeliharaan komuniti tempatan termasuk tanah rizab Melayu dan kawasan orang asli di Pulau Carey.
Pelan Induk ini kemudian akan menilai keberkesanan untuk mewujudkan Pihak Berkuasa Tempatan Khas untuk menyelia keseluruhan pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey selaras dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa pembangunan ini harus dipercepatkan bagi masa depan ekonomi negara.
“Kerajaan Negeri turut komited untuk bekerja rapat bersama Kementerian Pengangkutan serta agensi Persekutuan yang terkait agar proses pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey dapat dioptimumkan serta mewujudkan Zon Ekonomi Khas dalam kawasan ini.
“Kesemua ini amat penting supaya Pelabuhan Ketiga Pulau Carey melonjakkan potensi Pelabuhan Klang sekaligus menjadi pintu utama kemasukan peluang ekonomi bukan sahaja ke Malaysia, tetapi Asia Tenggara, terutamanya dalam keadaan dunia sedang berhadapan dengan krisis global,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.