Berita baik buat peniaga kecil, DBKL umum potongan 50% sewa tapak selama dua tahun

Kerajaan MADANI melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk melaksanakan pengurangan kadar sewa sebanyak 50 peratus bagi tapak penjaja dan pasar di bawah seliaan DBKL bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 tapak penjaja dan premis perniagaan kecil milik DBKL di Kuala Lumpur sekaligus membantu mengurangkan tekanan kos operasi yang dihadapi penjaja dan peniaga mikro di bandar.

“Inisiatif ini juga menjadikan DBKL sebagai antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia melaksanakan pengurangan kadar sewa secara menyerluruh pada sekala besar,” katanya dalam sidang media sebentar tadi bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Fadlun menjelaskan bahawa pengurangan kadar sewa dilaksanakan melalui potongan secara 50 peratus, dengan kadar sewaan minimum ditetapkan pada kadar RM50 sebulan.

Ini bermakna walaupun potongan 50 peratus diberikan, kadar sewaan akhir yang diberikan kepada penyewa tidak akan kurang daripada RM50 sebulan

Bagaimanapun bagi premis yang mempunyai kadar sewa RM50 dan ke bawah, kadar sewaan tersebut akan kekal seperti sedia ada tanpa sebarang pengurangan.

“Sebagai penjelasan, jika kadar sewaan asal adalah RM160, selepas potongan 50 peratus, kadar sewaan baru adalah RM80. 

“Jika kadar sewaan asal adalah RM80, potongan 50 peratus secara matematik menjadikan kadarnya sebanyak RM40. Namun kadar sewa dikenakan tetap RM50 kerana tertakluk kepada kadar minimum ditetapkan

“Sekiranya kadar sewaan asal adalah RM30, maka kadar sewa dikekalkan pada kadar sedia ada,” katanya.

Bagi menikmati insentif pengurangan ini, penyewa hendaklah terlebih dahulu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada sebelum layak menikmati insentif tersebut.

Pengurangan kadar sewa ini akan berkuatkuasa pada 1 April 2026 hingga 31 Disember 2027 sebagai langkah sementara membantu peniaga kecil menghadapi tekanan kos sara hidup semasa.

Fadlun berkata, langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan memastikan dasar dilaksanakan memberi kelegaan nyata kepada peniaga kecil tanpa menjejaskan keupayaan DBKL untuk terus menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada warga kota.