Naratif mazhab sunni vs syiah hanya dongeng, yang dipertahankan sebenarnya takhta

OLEH DATUK SERI MOHAMAD SABU

Apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan mengejut ke atas Iran ketika rundingan sedang berlangsung di Geneva, dunia menyaksikan satu tindakan yang amat agresif dan tidak bertanggungjawab. 

Ratusan jet pejuang digunakan. Serangan itu turut  menyasarkan dan membunuh kepimpinan tertinggi Iran termasuk Rahbar, Ayatollah Ali Khamenei.

Lebih menyayat hati, serangan udara tersebut telah mengorbankan kanak-kanak sekolah, dengan laporan menyebut lebih 160 orang terkorban. 

Dunia menyaksikan bagaimana kuasa ketenteraan terbesar di dunia bergabung dengan Israel melancarkan serangan yang membawa ramai korban awam.

Beberapa jam kemudian, Iran bertindak balas. Keseluruhan kekuatan ketenteraannya digerakkan untuk menyerang Israel dan juga menyasarkan pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah, termasuk di Kuwait, Bahrain, Arab Saudi, UAE dan Qatar iaitu lokasi yang digunakan Amerika untuk melancarkan serangan terhadap Iran.

Ada pihak cuba menggambarkan konflik ini sebagai peperangan mazhab, kononnya kebangkitan Syiah. Bagi saya, tafsiran itu tidak tepat dan terlalu simplistik.

Jika benar ia soal mazhab, mengapa banyak negara Arab Sunni tidak menyokong Iran dalam konfrontasi ini.

Sedangkan Israel telah merampas bumi Palestin, melaksanakan Nakba 1948 yang menghalau lebih 700,000 rakyat Palestin dari tanah air mereka.

Dan salam tempoh dua tahun kebelakangan ini menyaksikan puluhan ribu nyawa terkorban dalam konflik yang berpanjangan? 

Rumah, tanaman dan kehidupan rakyat Palestin dimusnahkan, di mana solidariti pemimpin Arab Sunni? 

Sejarah telah menunjukkan bahawa isu kuasa sering mengatasi isu mazhab. Syed Qutb, tokoh pemikir Islam, dihukum gantung oleh pemerintah yang juga bermazhab Sunni. 

Imam Hassan al-Banna ditembak oleh Sunni. Dan apabila Ikhwanul Muslimin memenangi pilihan raya secara demokratik di Mesir dengan Dr. Mohamed Morsi dilantik sebagai Presiden, kerajaan itu digulingkan melalui sokongan dan pembiayaan daripada negara-negara Arab Sunni sendiri.

Jika benar pertimbangan utama ialah isu mazhab, mengapa Ikhwan dan Dr. Morsi tidak dipertahankan? 

Mengapa gerakan-gerakan Sunni tertentu disekat dan aktivisnya menjadi persona nan grata, dengan tidak dibenarkan masuk ke beberapa negara Arab?

Realitinya, konflik hari ini bukan soal Syiah atau Sunni. Ia soal kepentingan kuasa dan kelangsungan pemerintahan mereka. 

Umat Islam melihat pemerintah Arab Sunni lebih bimbang kehilangan takhta sekiranya berdepan Israel dan Amerika Syarikat, berbanding mempertahankan prinsip keadilan sejagat.

Sejarah mengajar kita bahawa tidak semua manusia akan bersatu dalam satu pendirian. 

Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri, sebagai contoh terbaik umat manusia, pernah berdepan penentangan dan ancaman pembunuhan.

Oleh itu, menuduh bahawa peperangan Iran–Israel hari ini adalah peperangan mazhab adalah naratif yang tidak tepat. Mazhab hanya dijadikan alasan. 

Hakikatnya, pertimbangan politik dan kepentingan kuasa lebih dominan daripada sentimen sektarian.

Ingat! ada “Sunni” buatan Britain dan ada “Syiah” buatan Britain. Tujuannya untuk memecah-belahkan umat. 

Selain isu mazhab, mereka juga mainkan isu komunis dan pengganas untuk terus menakut-nakutkan dan memecah-belahkan umat. 

Sampai bila umat nak terus terperangkap dalam agenda sektarian ini?

Yang perlu ditegaskan ialah prinsip keadilan dan kemanusiaan, bukan sentimen mazhab yang diputar untuk mengaburkan isu sebenar.

BACA JUGA Berita baik buat peniaga kecil, DBKL umum potongan 50% sewa tapak selama dua tahun