‘Kalau rancang nak beli lima ekor ayam, kekalkan beli lima ekor’
Rakyat dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian panik menjelang sambutan Aidilfitri berikutan jaminan kerajaan bahawa bekalan makanan negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga tempoh dua bulan ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini bekalan makanan asas berada pada tahap mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.
“Sekarang ini stok makanan tidak ada masalah sekurang-kurangnya sehingga Mei akan datang. Oleh itu, jangan ada panic buying.
“Semuanya mencukupi. Ayam, telur, daging, susu, ikan. Semuanya dalam keadaan mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media program Langat Kacau Dodol Madani 2.0 di Padang Stadium Mini Batu 14, Hulu Langat, tengah malam tadi.

Mohamad menambah kerajaan sentiasa memantau perkembangan ekonomi semasa termasuk faktor luaran yang boleh mempengaruhi harga dan bekalan makanan negara.
“Kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi sentiasa akan memberi nasihat-nasihat kepada kita mengenai kedudukan dan perkembangan mutakhir.
“Buat masa ini bekalan masih mencukupi untuk Hari Raya akan datang. Kalau rancang nak beli lima ekor ayam, kekalkan beli lima ekor.
“Kalau nak beli daging 3 kilo, contohnya, kekalkanlah beli daging 3 kilo itu. Tidak ada kekurangan bekalan dalam menghadapi Aidilfitri dan selepas Aidilfitri nanti.
“Nak buat rumah terbuka atau apa-apa sahaja, tidak ada masalah kehabisan bekalan makanan lagi,” ujarnya yang juga Presiden AMANAH.
Sumber import
Dalam pada itu, Mohamad berkata, faktor utama yang mempengaruhi harga makanan pada masa depan adalah perkembangan konflik antarabangsa serta perubahan harga minyak dunia.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Raja berkenaan berkata, kebanyakan sumber import makanan Malaysia datang dari negara yang tidak melalui kawasan konflik di Selat Hormuz.
“Kita ambil beras dari Pakistan dan India, manakala bahan makanan lain dari China, negara ASEAN, Argentina, Brazil, Australia dan New Zealand yang tidak melalui kawasan pertelingkahan.
“Harga minyak dan bersangkut-paut itu semuanya yang impak bukan sekarang ini, kemungkinan beberapa bulan yang akan datang.
“Kita akan dengarlah nasihat dan pandangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam merangka strategi pada waktu itu,” kata Mohamad lagi.
BACA JUGA Anak Menteri Penempatan Israel ditemui mati selepas dedah jadi mangsa penderaan seksual