Bonus raya GLC Terengganu: Staf hanya setengah bulan, pengerusi RM10,000?

Pihak atasan sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) memperoleh ‘duit raya’ yang jauh lebih lumayan manakala kakitangan syarikat itu hanya menerima bonus Aidilfitri setengah bulan gaji asas sahaja.

Perkara itu didedahkan oleh kumpulan Facebook, Greater Terengganu Development yang mempersoalkan perbezaan agihan bonus Aidilfitri itu.

“Alhamdulillah. Walaupun tiada lagi dana raya untuk rakyat, bonus Hari Raya untuk jawatan lantikan politik tetap ada,” katanya sinis.

Menurut perkongsian tersebut, sebelum tahun 2018, kebiasaannya pekerja Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd menerima bonus Aidilfitri bersamaan sebulan gaji bagi membantu persiapan menyambut perayaan.

“Malah, pada 2018 difahamkan kerana untung, pekerja-pekerja diberikan dua bulan bonus raya sebelum perubahan kerajaan,” menurut kenyataan GTD.

Bagaimanapun, GTD mendakwa keadaan kini berbeza apabila kakitangan yang kebanyakannya bergaji rendah hanya diberikan bonus setengah bulan gaji asas walaupun syarikat didakwa mencatat prestasi lebih baik.

“Pengerusi pula mendapat RM10,000 bonus raya. Barisan pengarah mendapat RM6,000 setiap seorang untuk Aidilfitri,” kata GTD lagi.

Turut dikongsikan, surat kepada Ketua Eksekutif Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd, Che Ku Hafeez Che Ku Denang bertarikh 10 Februari 2026 yang memaklumkan mengenai pemberian duit raya itu.

“Pembayaran ini adalah amat adil dan saksama berdasarkan jawatan dan sumbangan masing-masing.

“Semoga Hari Raya kali ini semakin bermakna,” tambah GTD lagi dalam nada sindiran.

BACA JUGA Trump desak bantuan sekutu NATO, kawasan dekat lapangan terbang Dubai terbakar