Pengguna sokong penuh pelaksanaan Akta Sewa Beli, ini adalah reformasi

Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 sebagaimana diumumkan oleh Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam sidang media sempena Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 semalam.

Langkah ini merupakan satu reformasi penting dalam memperkukuh kerangka perlindungan pengguna khususnya dalam sektor kredit pengguna di Malaysia, kata Mohd Khair bin Ngadiron, Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara.

Katanya, MPPN berpandangan bahawa pindaan ini merupakan reformasi signifikan yang akan memberikan manfaat kepada pengguna melalui pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan Peraturan 78 (Rule of 78) serta penggantian kepada Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate) dan Kaedah Pengurangan Baki (Reducing Balance Method).

“Pendekatan baharu ini akan memastikan pengiraan faedah yang lebih telus, adil dan mencerminkan baki pinjaman sebenar, khususnya bagi pengguna yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman,”katanya.

Di samping itu, MPPN turut menyokong usaha pemodenan urusan perjanjian sewa beli melalui penggunaan teknologi seperti tandatangan digital dan tandatangan elektronik, yang dijangka meningkatkan kecekapan proses perjanjian serta mengurangkan risiko penipuan melalui proses pengesahan identiti peminjam.

MPPN juga berpandangan bahawa sekiranya keadaan industri mengizinkan, penguatkuasaan Akta ini lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan adalah wajar dipertimbangkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi ini dengan lebih segera, khususnya dari segi ketelusan pengiraan faedah dan keadilan dalam penyelesaian awal pinjaman, katanya.

Dalam masa yang sama, MPPN mengambil maklum bahawa tempoh peralihan diberikan kepada pihak industri bagi membolehkan mereka menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi selaras dengan keperluan baharu yang diperkenalkan.

“MPPN mengambil maklum kenyataan YAB Perdana Menteri berkaitan perkembangan konflik di Timur Tengah yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.

“Ketidaktentuan geopolitik ini berpotensi memberi tekanan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan serta kos sara hidup yang akhirnya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pengguna,” katanya.

Sehubungan itu, MPPN menegaskan kepentingan pemantauan harga dan amalan perniagaan yang beretika, di samping menyeru pengguna untuk tampil sebagai pengguna yang bijak, peka terhadap hak mereka serta berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan.

Selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, “Suara Kita, Kuasa Kita”, MPPN menyeru semua pengguna untuk terus meningkatkan kesedaran terhadap hak-hak mereka sebagai pengguna serta memainkan peranan aktif dalam memperkukuh budaya kepenggunaan yang bertanggungjawab dan beretika.

“MPPN komited untuk terus memainkan peranan sebagai badan penasihat kepada Kerajaan dalam memperkukuh dasar dan perundangan berkaitan kepenggunaan demi memastikan hak dan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” katanya.

BACA JUGA ‘Terima kasih PM, dalam mimpi pun tidak terbayang ada jambatan yang boleh dilalui kereta’