Laksanakan WFH secara bersasar, saran AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan agar majikan swasta dan kerajaan melaksanakan dasar “Work From Homes – WFH” (Kerja dari rumah) secara bersasar bagi tugasan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal secara konsisten.

Ketua AMK, Muhamad Kamil Munim juga menggesa majikan mengutamakan kebajikan pekerja dengan memberikan fleksibiliti untuk membantu mereka mengurus kos sara hidup di kawasan bandar.

AMK berkata demikian ketika mengulas kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang mendakwa bahawa dasar Kerja Dari Rumah (WFH) tidak sesuai dalam konteks tenaga kerja Malaysia. Kami berpandangan bahawa hujah ini bersifat regresif dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

Kata Kamil, pengalaman negara ketika mendepani fasa pemulihan COVID-19 telah membuktikan bahawa fleksibiliti di tempat kerja bukanlah satu penghalang, sebaliknya pemangkin kepada produktiviti.

“Melalui model kerja fleksibel, kita mampu mencapai keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik sambil mengurangkan kos operasi (OPEX) syarikat dan beban perbelanjaan harian rakyat, terutamanya kos petrol dan pengangkutan,” katanya.

Katanya, dalam situasi harga minyak dunia yang tidak menentu sekarang, WFH adalah instrumen strategik untuk mengurangkan tekanan subsidi bahan api negara.

Ia bukan lagi satu eksperimen, tetapi satu amalan global yang terbukti efisien.

“AMK mendesak agar sektor swasta berhenti bersikap skeptikal dan mula melihat potensi jangka panjang dalam ekonomi digital dan hibrid saat ini.

“Malah, Malaysia tidak bersendirian dalam anjakan strategik ini,” katanya.

Di Eropah, menteri-menteri dan pegawai kerajaan sekali lagi menggesa rakyat untuk “mengelak kesesakan” (skip the commute) dan bekerja secara jarak jauh bagi menjimatkan penggunaan gas, malah menyamai dasar yang pernah diambil ketika krisis tenaga Rusia-Ukraine pada 2022.

Di rantau Asia Tenggara, kerajaan Vietnam, Filipina, dan Thailand turut mengeluarkan panduan rasmi yang meletakkan WFH sebagai langkah segera mendepani kemelut ini.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., malah telah mengarahkan agensi kerajaan untuk mengamalkan WFH dan minggu kerja pendek bagi mengurangkan penggunaan tenaga sektor awam sehingga 20 peratus.

“Jelas sekali, fleksibiliti tempat kerja kini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai mekanisme pertahanan ekonomi yang efektif dalam menghadapi ketidaktentuan harga minyak dunia.

“Oleh yang demikian, pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu adalah langkah-langkah proaktif kerajaan untuk menjangka dan berhadapan risiko krisis Asia Barat dengan cermat.

“Justeru itu, tindakan Kerajaan untuk membatalkan kesemua majlis Rumah Terbuka Aidilfitri agensi Kerajaan dan mengurangkan lawatan kerja menteri ke luar negara adalah manifestasi jelas kepada konsep “Pain Sharing” (berkongsi beban),” katanya.

Bagi beliau, kepimpinan negara telah memilih untuk memotong perbelanjaan keraian demi memastikan keselamatan ekonomi rakyat dan kestabilan harga barang di pasaran domestik terjamin.

Dalam konteks yang sama, AMK menyeru pihak majikan dan sektor swasta untuk ikut serta dalam semangat nasionalisme ekonomi yang amat diperlukan saat ini.

“Usah kita terus terperuk dengan sikap lama tanpa kesediaan untuk berubah ke arah model operasi yang berani dan mampan,” katanya.

BACA JUGA Saifudin dapat penghakiman engkar terhadap pemfitnah beliau