KJ serah surat rayuan sertai Umno kembali
Secara rasmi, Khairy Jamaludin menyerahkan surat rayuan menyertai Umno kembali malam tadi.
“Alhamdulillah. Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama Umno,” tulis Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi facebook beliau.
Bagi beliau, inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa.
“Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan.
“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” tulisnya lagi.
Bagi Zahid, dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering beliau sebut – biduk lalu, kiambang bertaut.
“Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita.
“Mudah-mudahan Rumah Bangsa menjadi asas untuk kita mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan, dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini,” katanya.
Sebelum Zahid mempelawa semua bekas ahli Umno samada yang telah dipecat atau digantung untuk menyertai Umno Kembali.
BACA JUGA “Make Iran great again”, TIME sindir Presiden Trump