KJ sertai Umno tanpa syarat, mahu jadi anak kapal biasa

Khairy Jamaludin memaklum, beliau memohon menyertai semula Umno tanpa sebarang syarat.

“Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan.

“Cukuplah untuk saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa,” kata beliau dalam posting di facebook beliau.

Menurut KJ, beliau akan membantu Umno semampu beliau.

“Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya.

“Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.

“Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah menerima kunjungan beliau atas semangat Rumah Bangsa di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Dengan jiwa besar Presiden, beliau telah menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali.

“Saya menghargai keterbukaan dan kebesaran hati beliau dalam membuka ruang untuk kita melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti.

“Atas semangat Rumah Bangsa, saya telah secara rasminya memohon agar pemecatan keahlian saya dari UMNO dibatalkan dan nombor keahlian asal saya diaktifkan semula.

“Saya harap Presiden UMNO, Majlis Tertinggi UMNO dan Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan hasrat saya dengan sewajarnya,” katanya.

Bagi beliau, di saat politik tanah air berdepan dengan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bahtera perjuangan bangsa – Umno – yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan.

BACA JUGA KJ serah surat rayuan sertai Umno kembali