Zamri Vinoth, Arun Dorasamy mengaku tak salah cetus ketakutan orang awam

Penceramah bebas, Zamri Vinoth pagi ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berhubung perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, bulan lalu.

Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam sehingga boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Faezahnoor Hassan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang jika disabitkan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu beliau tiba di mahkamah pagi tadi dalam jam 9.10 pagi dengan tangan bergari diiringi kawalan ketat polis. 

Dalam perbicaraan berasingan, Arun Dorasamy didakwa di Mahkamah Majistret Jawi atas pertuduhan membuat kenyataan di media sosial dengan niat menyebabkan ketakutan kepada orang awam pada Mac tahun lalu.

Lelaki itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang berbunyi: “Sekiranya begini cara pihak polis atau kerajaan PM akan melayan penganut Hindu, kami tidak mempunyai pilihan lain. Kami akan turun ke jalanan. Kami terpaksa turun ke jalanan.

“Saya mahukan tindakan yang tegas. Tindakan tegas daripada pihak berkuasa. Jika tidak, pastinya sebagai seorang aktivis, kami akan turun ke jalanan. Bila, di mana dan apa, ia bergantung kepada soalan terbuka dan cabaran kepada pihak berkuasa.”

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat menyebabkan ketakutan kepada orang awam yang mungkin mendorong mana-mana orang untuk melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

BACA JUGA Anwar vs Samsuri: Tengok perbandingan ini dulu sebelum terfikir nak tukar PM