Banyak barangan di bawah harga kawalan, kerajaan berjaya bendung lonjakan menjelang Aidilfitri

Kerajaan berjaya mengekang kenaikan mendadak harga barangan menjelang Aidilfitri ini ketika negara-negara lain berdepan masalah lonjakan kos susulan krisis di Asia Barat.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, walaupun harga minyak dunia melambung, harga barangan kawalan masih dapat dijual pada kadar lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Kita paling bimbang adalah kenaikan harga secara mendadak seperti yang berlaku di beberapa negara lain, namun Alhamdulillah, perkara itu dapat dikawal di negara ini.

“Alhamdulillah, harga barangan kawalan dan barangan Rahmah ini, kita dapat lihat dijual berbeza daripada harga biasa.

“Ini adalah inisiatif kerajaan melalui KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) untuk memastikan rakyat dapat membeli barangan dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pemeriksaan pematuhan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri oleh KPDN Selangor di Lotus Bukit Beruntung, hari ini.

Turut hadir Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari.

Belanja berhemah

Menurut Rizam, tinjauan beliau bersama KPDN Selangor di pasar raya tersebut mendapati lebih 20 barangan dijual pada harga lebih rendah daripada harga kawalan.

“Diharap ini dapat membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan bagi menyambut Aidilfitri,” katanya.

Selain dapat membeli barangan pada harga yang terkawal melalui pelaksanaan SHMMP, rakyat di Selangor juga, katanya, menikmati inisiatif Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dengan pengurangan harga 10 hingga 30 peratus.

PJRM di 200 lokasi jualan dengan anggaran melibatkan 50 hingga 90 jenis barangan keperluan asas, barangan basah dan kering itu bermula sejak 14 Mac lalu hingga 28 Mac ini.

Dalam masa sama, Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, menyambut baik saranan Perdana Menteri agar rakyat mengamalkan perbelanjaan berhemah sempena Hari Raya ini.

Jelasnya, kerajaan memberi perhatian serius terhadap risiko kenaikan harga secara mendadak, namun setakat ini langkah kawalan yang dilaksanakan berjaya mengelakkan situasi tersebut.

Beliau menambah kerajaan negeri Selangor akan mengambil langkah yang seiring dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang musim perayaan ini.

BACA JUGA Baru kalian puas hati kan, dua-dua dah kena dakwa