Lantikan politik punca dana rakyat terjejas walau Terengganu terima peruntukan Persekutuan tertinggi

Lantikan politik dalam pentadbiran kerajaan negeri Terengganu didakwa menjadi antara punca utama kekangan kewangan negeri Terengganu, meskipun menerima peruntukan tertinggi daripada Kerajaan Persekutuan.

Kumpulan Facebook Greater Terengganu Development (GTD) menerusi satu kenyataan mendakwa, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2024, Terengganu menerima sebanyak RM2.003 bilion daripada Kerajaan Persekutuan iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh sedekad di Semenanjung Malaysia.

Daripada jumlah itu, RM449.7 juta merupakan geran Persekutuan manakala RM1.553 bilion lagi disalurkan melalui Dana Khas Persekutuan atau royalti petroleum.

Namun, menurut GTD, sebahagian besar dana tersebut telah digunakan untuk perbelanjaan operasi.

Ia termasuk RM706.72 juta bagi bayaran gaji dan emolumen yang turut melibatkan ribuan lantikan politik kerajaan negeri.

Selain itu, dana berkenaan turut dibelanjakan untuk bayaran kontraktor (RM400.77 juta), bayaran tertunda projek pembangunan (RM318.5 juta), pembayaran hutang (RM100.72 juta) serta insentif skim persaraan (RM26.32 juta).

Menurut kenyataan itu, tiada peruntukan disalurkan kepada Penyelaras Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN), sekali gus menolak dakwaan kononnya wujud penyaluran dana kepada lantikan politik di peringkat Persekutuan.

Beban emolumen tinggi

Dalam masa sama, GTD mempersoalkan keutamaan kerajaan negeri apabila beban emolumen yang tinggi melibatkan lantikan politik menyumbang kepada peningkatan jumlah kakitangan awam negeri sehingga hampir 15,000 orang.

Keadaan itu, menurut mereka, menyebabkan perbelanjaan gaji negeri menjadi antara yang tertinggi di Malaysia dan menjejaskan keupayaan untuk menyalurkan bantuan terus kepada rakyat seperti Dana Raya atau bantuan persekolahan.

GTD turut mendakwa sekiranya jumlah lantikan politik dapat dikurangkan, kerajaan negeri berpotensi menjimatkan sehingga RM200 juta setahun yang boleh dimanfaatkan untuk kebajikan rakyat.

“Inilah punca sebenar yang menyebabkan masalah kewangan kerajaan negeri pada masa kini,” menurut kenyataan itu lagi.

BACA JUGA Kerajaan laksana 9 langkah ringan beban sempena Aidil Fitri, no 8 paling disenangi