Kepimpinan Anwar telah lonjakkan Malaysia ke persada dunia, kata Hajiji
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan berjaya melonjakkan semula nama Malaysia di persada antarabangsa serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata sejak menerajui kepimpinan negara, Perdana Menteri telah memperkukuh hubungan dengan pemimpin dunia sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
“Sejak mengetuai kepimpinan negara, Perdana Menteri telah berjaya melonjakkan semula nama Malaysia di persada antarabangsa melalui hubungan baik yang sentiasa diperkukuh dengan para pemimpin dunia.
“Saya ingin mengulangi bahawa kerajaan negeri yang saya pimpin ini yang terbentuk susulan selesainya Pilihan Raya Negeri ke-17, akan terus memberikan sokongan dan dukungan padu kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Hajiji berkata antara pencapaian tersebut ialah kecemerlangan Malaysia dalam mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada tahun lepas, yang menurutnya telah digalas dengan cemerlang oleh Anwar.
Dalam pada itu, beliau berkata kepimpinan kerajaan MADANI juga berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan pencapaian pelaburan yang memberangsangkan.
Beliau berkata tahun lepas Malaysia mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding 2022.
“Pelaburan ini juga melibatkan lebih 8,000 projek dengan potensi peluang pekerjaan sebanyak 244,902. Pada masa sama, nilai ringgit semakin mengukuh yang memberi isyarat bahawa kepimpinan kerajaan MADANI ini berada pada landasan yang tepat untuk membawa Malaysia ke arah kemajuan dan kecemerlangan,” katanya.
BACA JUGA Kerajaan laksana 9 langkah ringan beban sempena Aidil Fitri, no 8 paling disenangi