Ini sebabnya kerajaan beri satu hari kelepasan am tambahan sempena Aidilfitri

Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan sempena Aidilfitri ini, bagi membolehkan rakyat mempunyai masa mencukupi untuk merancang jadual perjalanan dan mengatur urusan kerja masing-masing dengan sebaiknya.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, ia selaras pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 15 Mac lalu.

Justeru, jika tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat ini, beliau berkata, kerajaan menetapkan 23 Mac (Isnin) sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung dan Labuan.

“Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu ini, maka kerajaan menetapkan 20 Mac (Jumaat) sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta 369 bagi Semenanjung dan Labuan.

“Memandangkan hari kedua Aidilfitri akan jatuh pada Ahad (22 Mac), maka Isnin (23 Mac) adalah cuti gantian secara automatik selaras Seksyen 3 Akta 369,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial beliau.

Tambahnya, bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri masing-masing boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh berkenaan mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am yang berkuat kuasa.

“Bagi negeri-negeri yang menjadikan Jumaat atau Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan, peraturan hari kelepasan am adalah mengikut ketetapan pihak berkuasa negeri masing-masing,” kata beliau lagi.

Pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal untuk sambutan Aidilfitri 2026 akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, esok.

BACA JUGA Bonus raya GLC Terengganu: Staf hanya setengah bulan, pengerusi RM10,000?